Berita

Jerebu: DAP temui Duta Besar Indonesia

KUALA LUMPUR, 24 JUN: DAP mahu kerajaan Malaysia dan Indonesia bertindak tegas terhadap syarikat yang terbabit melakukan pembakaran terbuka di Sumatera yang mana telah menyebabkan serangan jerebu mengancam keselamatan dan kesihatan orang awam serta alam sekitar.

Demikian gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selepas membuat pertemuan bersama Duta Besar negara itu, Herman Prayitno bersama pegawai-pegawai kanan beliau sebentar tadi selepas majlis angkat sumpah di Parlimen.

“Kita berada di sini untuk sampaikan mesej perasaan kurang senang rakyat Malaysia di mana sudah dua kawasan di Malaysia diisytiharkan darurat,” kata beliau.

Menurut Guan Eng, pihak kedutaan Indonesia turut menyampaikan rasa malu bagi pihak kerajaan Indonesia berhubung bencana jerebu yang telah menyebabkan negara-negara jirannya terancam.

Selain mengambil tindakan tegas ke atas semua syarikat yang menjalankan pembakaran hutan secara terbuka, Guan Eng turut memberi cadangan kepada pihak Indonesia agar pihak terbabit membayar pampasan kepada rakyat Malaysia dan juga rakyat Indonesia yang sama-sama menderita.

“Kita juga meminta agar kerajaan Indonesia memperakukan perjanjian ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (ATHP) yang telah pun dipersetujui negara-negara ASEAN pada tahun 2002.

“Saya difahamkan bahawa ia telah dibentangkan ke Parlimen Indonesia dan saya harap ia dapat diperakukan supaya kita dapat mencari jalan untuk mengatasi masalah ini dengan lebih mudah,” katanya.

Jelasnya, dengan perakuan ini, ia akan memudahkan kerjasama dengan semua negara-negara ASEAN.

“Kalau ada hot spot, kita boleh kesan, boleh bertindak segera untuk padamkan api,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan itu juga mahu agar bencana jerebu yang disebabkan syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab itu tidak menjadi ‘acara tahunan’ dan mahu masalah ini diselesaikan buat selama-lamanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching. – Roketkini.com