Berita

Parlimen mesti segerakan IPCMC – M Kulasegaran

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk membawa institusi polis ke tahap yang lebih baik akan diusulkan di Parlimen.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berkata, IPCMC perlu ditubuhkan kerana penolakan kerajaan kepada penubuhannya tidak akan membawa jalan penyelesaian ke arah meningkatkan profesionalisme polis.

“Saya akan membangkitkan mengenai salah guna kuasa dalam badan-badan penguatkuasa negara, khususnya soal perlaksanaan IPCMC dan saya berharap saya akan mendapat ruangan
untuk membentangkannya, selaras dengan apa yang diperkatakan Speaker untuk mereformasi dan melakukan perubahan dalam sidang Parlimen,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.

Dalam sidang Parlimen Penggal Pertama setelah PRU 13 ini, beliau juga yang Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan turut akan menekankan mengenai isu kemiskinan dan kerakyatan yang juga tidak ada mekanisme penyelesaian dari kerajaan.

“Kita tengok sekarang ini, masyarakat yang melarat akibat kemiskinan semakin meningkat dalam negara.

“Begitu juga dalam isu kerakyatan, lahir dan menetap di Malaysia dalam tempoh yang begitu lama tapi tetap tidak diktiraf sebagai warganegara.

“Jadi saya mahu tahu apa sebenarnya kerajaan telah lakukan kepada mereka dan berapa ramai darinya sudah diselesaikan masalah itu oleh kerajaan?,” tegasnya.

Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar, beliau menyelar kerajaan yang lebih mengutamakan penduduk luar dalam pemberian kewarganegaraan tapi mengetepikan rakyat sendiri.

“Kerajaan ni pandai cakap-cakap saja, kalau mereka betul-betul serius, masalah ini sudah tidak sepatutnya timbul lagi.

“Kita tengok dalam projek I.C, hampir 800,000 ribu orang mereka-mereka dari luar negara dengan senangnya mendapat kad pengenalan diri tapi sebaliknya pula berlaku kepada rakyat kita sendiri,” katanya. – Roketkini.com