Berita

BN akan terus ditekan – Kian Ming

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Kegilaan kuasa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan melemahkan semangat Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming untuk meneruskan agenda reformasi sistem pilihan raya, pendidikan dan ekonomi di Malaysia.

Menurut beliau, amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh pengundi Serdang sebaik mungkin akan digunakan sebagai wadah mengetengahkan ide-ide baru.

“Selain isu pilihan raya, saya juga akan membangkitkan isu-isu berkaitan pendidikan dan ekonomi,” katanya kepada Roketkini.com.

Menurut Strategis Pilihanraya DAP ini, punca ramai graduan menganggur antara lain disebabkan ketidakseimbangan yang berlaku dalam permintaan pasaran kerja.

“Kita biasa dengar ramai yang mempunyai diploma atau ijazah misalnya, mereka bekerja di luar bidang. Ini satu kerugian besar terhadap guna tenaga modal insan di Malaysia sekaligus dapat beri kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya tak nafi, banyak IPT negara ini yang berkualiti tetapi jika dibandingkan dengan permintaan pasaran kerja, adakah ia seimbang?,” soalnya.

Justeru, dengan perlantikannya sebagai Ahli Parlimen, Dr Kian Ming sejak awal lagi menyatakan kesediaan beliau mengetengahkan semua ide dan isu yang berbangkit.

“Saya sedia memainkan peranan dan memberi sumbangan saya menjadikan parlimen sebuah tempat di mana warga negara ini boleh menilai segala cadangan yang dibuat daripada pihak Pakatan mahu pun kerajaan.

“Dengan kerjasama teman-teman seperjuangan saya dalam Pakatan Rakyat, kita akan gunakan ‘pressure point’ untuk beri tekanan kepada kerajaan supaya mereka lebih prihatin. Semuanya demi kepentingan Malaysia,” ujar beliau.- Roketkini.com