Berita

Jangan hadkan wanita dengan isu wanita – Kasthuri Patto

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Anak bekas pejuang DAP P.Patto ini tidak kekok melontarkan pandangan, meskipun beliau adalah antara muka baru yang diberi kepercayaan mewakili Parlimen Batu Kawan.

Bukan sekadar mahu membawa suara masyarakat di kawasannya, Kasthuri Patto sudah melihat jauh untuk memperjuangkan suara dan hasrat besar wanita ke Parlimen.

“Saya akan membawa isu wanita ke parlimen, tetapi wanita juga tidak semestinya bercakap mengenai isu-isu berkaitan mereka sahaja malah boleh memainkan peranan lebih besar dari itu.

“Sekarang kita boleh berbangga kerana golongan wanita mempunyai ramai wakil samada dari kalangan parti politik terutamanya dari Pakatan Rakyat (PR) mahupun NGO,” katanya ketika ditemui di Parlimen selepas majlis angkat sumpah semalam.

Menurut beliau, penglibatan wanita tidak boleh dihadkan hanya di peringkat nasional malah perlu ke peringkat antarabangsa dan turut serta dalam proses membuat dasar yang melibatkan keamanan dan rundingan.

Ditanya mengenai ruang untuk wanita terlibat dalam proses membuat dasar, Kasthuri melahirkan rasa hairan beliau mengapa kerajaan ‘membuang masa’ terlalu lama mengoptimumkan kebolehan golongan wanita negara ini.

“Saya boleh akui, kerajaan (BN) banyak menghantar delegasi-delegasi wanita ke luar negara menyertai forum, mesyuarat dan sebagainya tetapi tidak banyak yang berlaku setelah mereka pulang ke Malaysia.

“Tapi kita dapat lihat bagaimana selepas pilihan raya 2008, berlaku banyak perubahan. Lebih ramai wanita berada dalam parlimen dan lantang menyuarakan pandangan mereka berbanding wakil dari BN,”katanya.

Katanya, kini ahli-ahli politik wanita seperti Hannah Yeoh, Teresa Kok, Chong Eng, Yeoh Bee Yin, Nurul Izzah dan ramai lagi wakil yang dipilih rakyat telah pun membuktikan kemampuan mereka.

“Mereka bukan sahaja menjuarai isu-isu wanita dengan lantang malah isu-isu lain melibatkan penyelewengan, alam sekitar, ketelusan dan keadilan.

“Ini menunjukkan wanita mampu bersaing secara sihat dengan golongan lelaki dan tidak wajar dipandang rendah oleh sesiapa pun,” ujar Kasthuri. – Roketkini.com