Berita

DAP tumpu enam isu bahas Titah DiRaja

KUALA LUMPUR, 26 JUN: 38 orang Ahli Parlimen DAP akan menumpukan kepada soal ketidaksamarataan serta soal jurang kuasa Kerajaan Pusat dan Negeri dalam sesi perbahasan Titah DiRaja bermula minggu ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya berkata Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang akan mengetuai perbahasan, diikuti Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Enam isu berkisar ketidaksamarataan yang bakal dihujahkan para wakil rakyat DAP adalah seperti berikut:

1. Jurang demokrasi apabila tidak wujud proses pilihanraya yang bersih dan tidak mematuhi prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’ yang menyebabkan keputusan pilihanraya yang tidak adil di mana parti yang memenangi undi popular kalah pilihanraya (Pakatan Rakyat menang majoriti 51% undi popular tetapi hanya mendapat 40% kerusi);

2. Jurang ekonomi di antara yang kata dan miskin yang diperlihatkan oleh kegagalan membasmikan kemiskinan serta kadar kemiskinan yang tertinggi di Malaysia dalam negeri paling kaya iaitu Sabah;

3. Jurang fiskal di antara pendapatan dan perbelanjaan yang disebabkan oleh keengganan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan tender terbuka yang kompetitif bagi menangani rasuah, pembaziran dan ketidakcekapan yang mengakibatkan kemungkinan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan;

4. Jurang pengagihan kuasa antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang memerlukan lebih desentralisasi kuasa di mana belanjawan Kerajaan Pusat menjangkau 94% manakala belanjawan negeri hanya 6%.

5. Jurang kuasa ‘tawar-menawar’ antara Kerajaan Pusat dengan Sabah dan Sarawak, di mana mereka tidak menikmati kuasa saksama seperti yang dijanjikan, dengan hanya diperuntukkan 5% royalti minyak serta kegagalan BN Sabah untuk menepati janji mereka untuk menurut Pakatan Rakyat menaikkan royalti minyak sehingga 20%;

6. Jurang hak apabila pengundi dihukum melalui salahguna kuasa daripada ahli politik yang mahu membalas dendam atas kekalahan mereka seperti yang dilakukan Kerajaan Negeri Melaka yang bertindak menutup pasar malam Jonker Walk.

“Ahli Parlimen DAP akan menjadi suara seluruh rakyat Malaysia yang mahu memberikan mesej jelas ke Parlimen bahawa ‘kuasa rakyat adalah jauh lebih kuat berbanding mereka yang berkuasa,” ujar beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. – Roketkini.com