Berita

Tolak usul jerebu bukti kerajaan BN lembab, tak prihatin

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Usul tergempar melibatkan kepentingan awam mengenai bencana jerebu ditolak begitu sahaja oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebentar tadi.

Kesal mengenai perkara itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang sejak awal lagi mendesak agar perkara ini dibahaskan berkata bahawa apa yang berlaku menggambarkan kerajaan tidak serius menanganinya.

“Speaker telah beritahu bahawa isu jerebu ini tak perlu dibahaskan kerana ini adalah masalah Indonesia,” katanya.

Dalam sidang medianya di lobi Parlimen, Nie Ching berkata biarpun masalah jerebu ini berpunca dari negara tetangga, rakyat negara ini telah pun menerima kesan yang berbahaya.

“Saya nak persoalkan, kenapa kerajaan Malaysia lambat bertindak? Baru sekarang nak beri topeng N95 sedangkan negara jiran Singapura telah laksanakannya sejak hari Jumaat lalu,” ujar beliau.

Beliau pada masa yang sama mahu kerajaan mengumumkan berapa jumlah topeng muka yang telah diedarkan kepada orang awam.

Kelmarin Nie Ching bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke mengunjungi Duta Besar Indonesia, Dr Herman Prayitno bagi menyampaikan keresahan rakyat negara ini berikutan bencana jerebu yang berlaku. – Roketkini.com