Berita

Tak ada sebab Speaker tolak soalan tentang Taib Mahmud – Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng hari ini menyelar tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Paduka Pandikar Amin yang menolak pertanyaan lisannya dalam sidang Parlimen.

Menurut beliau, Pandikar Amin mengemukakan jawapan yang sama sekali tidak masuk akal bagi menghalang beliau dari membuat pertanyaan.

Lip Eng memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan tindakan lanjutan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersikap ‘nakal dan tidak jujur’ dan ‘menjadikannya mangsa’.

Taib Mahmud juga menegaskan tidak mahu memberi kerjasama pada SPRM dalam kes rasuahnya seperti yang didedahkan oleh Global Witness.

“Mengapa saya mengajukan soalan ini, kerana kita mahu kerajaan mengambil tindakan sebetulnya kepada beliau. Mengapa tidak ada apa-apa dilakukan terhadap Taib?

“Tapi bila kita mahu bertanya, Speaker pula menolaknya dengan alasan pertanyaan saya itu dikeluarkan dengan tujuan hendak ‘mendapat buah fikiran’ atau hendak mendapat penyelesaian berkenaan perkara yang belum menjadi masalah.

“Ini merupakan jawapan yang amat tidak wajar dan tidak masuk akal sama sekali,” tegasnya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Turut Hadir dalam sidang media adalah Ahli Parlimen DAP Stampin, Julian Tan Kok Ping.

Terdahulu, Lip Eng menerima surat penolakan pertanyaan soal jawab lisan bertarikh 21 Jun 2013 dari Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah mewakili Pandikar Amin.

Kandungan surat itu mengemukakan sebab penolakkan soalan Lip Eng kepada Najib mengenai serangan Taib Mahmud terhadap SPRM yang jelas bertentangan dengan undang-undang negara. – Roketkini.com