Berita

Pelajar India jadi mangsa penghinaan Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Pemimpin UMNO terus dengan sikap angkuh mereka menghina kaum lain apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa piawaian yang ditetapkan terpaksa diturunkan untuk memberi ruang kepada pelajar-pelajar India yang tidak layak semata-mata untuk menepati janji yang ditepati.

Sikap angkuh itu ditunjukkan apabila Muhyiddin dilaporkan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran samada kerajaan benar- benar menawarkan 1500 tempat matrikulasi untuk pelajar-pelajar India.

Kesal dengan kenyataan itu Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar berkata selaku orang nombor dua negara, Muhyiddin perlu bertanggungjawab diatas kata-katanya yang mengguris perasaan minoriti itu.

“Ucapan Timbalan Perdana Menteri itu memang satu penghinaan kepada kaum India. Beliau sepatutnya profesional.

“Adakah benar bahawa pelajar-pelajar India yang kelayakannya lebih rendah daripada pelajar-pelajar lain diberi tempat matrikulasi pada tahun 2012 dan 2013?,” soalnya.

Sebelum ini Siva yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan menggesa kerajaan BN menunjukkan bukti bahawa 1,500 pelajar India diberi tempat di matrikulasi seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2012.

Gesaan itu dibuat kerana ramai yang berpendapat pemberian 1,500 tempat matrikulasi untuk pelajar India adalah satu janji kosong malah kesahihannya boleh dipertikaikan.

“Ia dibuat semata-mata untuk mempengaruhi masyarakat India untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Bagaimanapun, perkara itu masih menjadi tanda tanya sehingga sekarang,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Sebelum PRU-13, Presiden MIC, G. Palanivel beberapa kali menguar-uarkan mengenai pemberian 1,500 tempat matrikulasi kepada pelajar India. – Roketkini.com