Berita

Piala FA: DAP Johor beri sokongan padu pada JDT

SKUDAI, 29 JUN: Sebanyak tiga buah bas tajaan DAP Gelang Patah membawa penyokong Johor Darul Takzim (JDT) dilancarkan jam lapan pagi tadi ke Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan akhir antara pasukan itu melawan pasukan Red Warrior, Kelantan Darul Naim.

Menyatakan sokongan padu kepada skuad Harimau Selatan, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP Kebangsaan, Mahdzir Ibrahim berharap pasukan itu akan berjaya menjulang piala pada malam nanti.

“Kita bersama penyokong JDT berikan sokongan padu kepada pasukan negeri dan berharap permainan malam ini menarik dan bermutu,” ujar beliau yang merupakan calon DAP Parlimen Tanjung Piai dalam PRU13 yang lalu.

Sehubungan itu, Mahdzir juga berharap agar tidak berlaku sebarang kekecohan mahu pun provokasi diantara penyokong kedua-dua pihak seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Siapa pun yang kita sokong, ia bukan bererti kita perlu bermusuh. Biarlah sokongan padu kita kepada pasukan pilihan akan memberikan semangat baru dalam arena bola sepak negara,” kata Mahdzir yang turut sama membantu usaha anjuran DAP Gelang Patah, Kulai dan Kluang menghantar penyokong JDT ke Kuala Lumpur. – Roketkini.com