Berita

Kerajaan BN didesak tubuh PSC pantau perjanjian TPPA

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) digesa membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dan menyediakan analisis keuntungan sebelum menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago menyifatkan keengganan kerajaan BN membincangkan dan mendedahkan butiran perbincangan mengenai perkara itu menyebabkan ramai pihak berasa terancam terutamanya membabitkan pengusaha industri kecil dan sederhana negara ini.

Ia termasuk kegusaran yang diluahkan rakyat Malaysia sendiri dan beberapa NGO kerana TPPA yang bakal ditandatangani itu memungkinkan harga barangan naik termasuk ubat-ubatan yang tidak mampu dikawal kerajaan.

“Kami sudah mencadangkan agar ia dibincangkan di Parlimen tetapi ditolak kerajaan. Kerajaan tidak peduli saranan kami. Pihak kementerian telah menolak cadangan penubuhan PSC walaupun perjanjian itu besar merangkumi 29 bab.

“Apa yang jelas, keengganan kerajaan menubuhkan PSC menunjukkan wujud rahsia tertentu yang seolah-olah perkara itu sukar diterima orang awam jika dilaksanakan,” jelasnya pada sidang media.

Menurut Charles, pendedahan kepada awam, analisis kos dan perbincangan di Parlimen amat penting kerana sekiranya TPPA dilaksanakan, ia akan membabitkan kesan kepada alam sekitar, tenaga kerja, pendapatan kerajaan, peningkatan harga ubat-ubatan, dominasi syarikat asing dan sebagainya.

Ini termasuk kesan langsung kepada kenaikan harga pelbagai produk barangan pengguna, perkhidmatan, hak pelaburan, perolehan kerajaan, hak harta intelek, harga ubat malah kebebasan berinternet.

“Menteri kata mereka akan buat analisis kos sebelum perjanjian ditandatangani. Ini kerja mengarut. Sepatutnya kamu kena buat analisis kos awal-awal lagi, nanti terlambat.

“Saya mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan dengan mengarahkan penubuhan PSC. Kita nak pantau rundingan TPPA ini,” jelasnya.

Roketkini.com pada 18 Jun lalu melaporkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) mendesak kerajaan BN menubuhkan segera PSC dwi-partisan mengenai TPPA demi kepentingan umum dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan bersama itu antara lain  mempertikai tindakan kerajaan BN yang tidak meletakkan TPPA di bawah pengawasan Parlimen.

“Ia dikhuatiri akan menyebabkan rakyat terpaksa berhadapan kekangan dalam memastikan hak sosio-ekonomi dan kedaulatan negara dihormati serta dilindungi,” menurut kenyataan itu.-Roketkini.com