Berita

UMNO/BN diingat tidak jadi ‘Malayan Union baru’- Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) diingatkan tidak menjadi kerajaan Malayan Union baru akibat tindakan mereka yang menghadkan kuasa dan sumber kerajaan negeri.

Perkara itu bukan suatu perkara yang baru malah telah diperlakukan terhadap negeri yang ditadbir PAS iaitu Kelantan dan Terengganu sebelum kewujudan Pakatan Rakyat (PR).

Ia mengakibatkan peruntukan kepada kerajaan negeri itu disalur kepada agensi pusat yang akhirnya menyebabkan banyak rancangan pembangunan negeri untuk rakyat tergendala.

Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong berkata, apa yang berlaku di negeri yang ditadbir PR memperlihatkan sikap penjajah British itu terus diamalkan.

Ketika perbahasan mengenai proses ‘perdamaian nasional’ (national reconciliation) di Dewan Rakyat, semalam, Chin Tong berkata, sabotaj Kerajaan Persekutuan terhadap kerajaan negeri PR perlu dihentikan segera.

“Lebih kuasa dan sumber kewangan harus diberikan kepada kerajaan negeri. Jika tidak, status Malaysia sebagai Kerajaan Persekutuan akan diragui. Saya bimbang nanti ada orang ingat kita sudah menjadi “Malayan Union” yang baru.

“Contohnya, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) sepatutnya bidang kuasa kerajaan negeri. Tetapi di negeri PR, sudah berlaku keadaan “one country two systems” di mana kerajaan Pusat turut campur tangan dan mewujudkan JKKK Pusat (JKKKP) untuk lawan dengan JKKK negeri di mana kos membiayai JKKKP mencecah RM300 juta setahun,” tegas beliau.

Tambahnya, lebih mendukacitakan, penyelaras BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bagi negeri yang ditadbir PR dibayar eluan dengan dana awam, dan elaun mereka hampir setanding dengan elaun wakil rakyat.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan menggesa agar peruntukan yang adil diagihkan untuk pembangunan kawasan kepada semua wakil rakyat termasuk wakil rakyat oposisi.

Pada masa yang sama beliau mengulangi hasrat PR yang mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan.

“Jika ahli majlis kerajaan tempatan dipilih oleh rakyat, mereka sudah tentu lebih responsif kepada rakyat dan akan mampu menyelesaikan masalah tempatan dengan lebih berkesan,” jelasnya.-Roketkini.com