Berita

DAP bantah pertukaran agama secara satu pihak

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: DAP membantah apa juga bentuk pertukaran agama secara satu pihak bagi mana-mana kanak-kanak oleh salah seorang daripada ibu bapa kepada mana-mana agama samada Kristian, Islam, Buddha atau Hindu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP berpendapat kedua-dua ibu bapa mesti bersetuju dengan pertukaran agama yang sah bagi kanak-kanak di bawah usia 18 tahun seperti yang diperuntukkan mengikut Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, berdasarkan perkara itu, PAS Selangor lebih moderat berbanding Barisan Nasional (BN), UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin apabila menyatakan pertukaran agama anak di bawah usia 18 tahun mesti dengan persetujuan kedua-dua ibu bapa, bukan hanya salah seorang.

“Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman menolak pertukaran agama secara unilateral kepada Islam dengan menyatakan bahawa sesuatu keputusan yang sedemikian besar mesti mendapatkan persetujuan kedua-dua ibu bapa.

“Ini bertentangan dengan kenyataan Muhyidin yang mempertahan pertukaran agama unilateral seperti yang dicadangkan dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 adalah dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan hanya skopnya sudah berubah.

“Tidak syak lagi, Muhyidin sebenarnya salah kerana pertukaran agama kanak-kanak secara unilateral adalah bertentangan dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini..

Menurut Guan Eng, Majlis Peguam menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada kedua-dua ibu bapa dan bukan seperti yang dicadangkan dalam rang undang-undang ini yang bertujuan meluaskan penafsiran persetujuan ibu bapa dalam hal pertukaran agama kanak-kanak bawah 18 tahun bagi bermaksud ‘salah satu’ dan bukan ‘kedua-dua ibu bapa’.

Katanya, pada April 2009, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan peruntukan perlembagaan yang mengharamkan pertukaran agama secara unilateral oleh hanya salah seorang ibu bapa terhadap anak bawah umur kepada agama Islam menuntut supaya kedua-dua ibu bapa memberi persetujuan.

“Jelas sekali pendirian BN pada 2009 itu adalah berniat jahat dan helah yang dimainkan untuk menipu pengundi sebelum Pilihan Raya Umum 2013. Sebaik saja pilihan raya umum selesai, BN tidak lagi rasa bersalah untuk mengkhianati pengundi dengan mengubah pendiriannya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin DAP akan mengadakan dialog dan pertemuan dengan kumpulan tertentu dengan peruntukan yang sangat bertentangan dengan perlembagaan dalam rang undang-undang itu.

Beliau berkata, DAP menegaskan bahawa ia tidak menentang apa-apa klausa yang berkaitan kebajikan mereka beragama Islam, tetapi hanya peruntukan memberi kesan, menjejaskan dan menghalang hak orang bukan Islam yang dijamin Perlembagaan.

“Kebimbangan lain yang dibangkitkan kumpulan agama bukan Islam termasuk sama ada rang undang-undang itu akan meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia melampaui apa yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah Syariah hanya mempunyai kuasa ke atas mereka yang beragama Islam. Peguam mereka berhujah bahawa Parlimen tidak boleh dan tidak sepatutnya bertujuan untuk meluaskan bidang kuasanya sendiri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk meliputi mereka yang bukan Islam melalui penafsiran yang sangat lebar dan melampaui peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.-Roketkini.com