Berita

Dasar baru kerajaan punca kanak-kanak di Sarawak dibatal warganegara

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Perubahan dasar yang dilakukan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengakibatkan ramai kanak-kanak yang lahir di Sarawak dibatalkan taraf kewarganegaraannya.

Bercakap pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam, Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen berkata, JPN baru-baru ini tampil dengan dasar anak yang baru lahir akan mengikut kewarganegaraan ibu, bukannya bapa jika ibu bapa tidak berkahwin pada masa mereka dilahirkan.

Bagaimanapun, dasar itu kemudiannya menjadi persoalan ramai apabila pegawai JPN di Sarawak yang membatalkan sijil kelahiran kanak-kanak itu dan dikeluarkan dengan yang baru dengan status bukan warganegara.

“Setakat ini, kami telah menerima enam atau tujuh aduan yang sama di Sarawak,” katanya yang juga Pengerusi DAP Sarawak.

Beliau memberi contoh dalam kes Lim Wang Chun, berusia 12 tahun yang mempunyai sijil kelahiran, namun dibatalkan taraf warganegara apabila beliau memohon MyKad daripada JPN baru-baru ini.

JPN mendakwa sijil kelahiran Wang Chun dibatalkan kerana ibu bapanya tidak berkahwin pada masa kelahirannya dan beliau harus mengikut taraf warganegara ibunya,
iaitu Indonesia.

“Pegawai JPN memberitahu bahawa bukan lagi warganegara dan kemudian mengeluarkan suatu perakuan kelahiran baru. Akibat tindakan JPN yang tidak berperikemanusian itu beliau kini tidak boleh menduduki peperiksaan UPSR pada September ini,” ujarnya.

Menurut Chieng Jen, kes yang menimpa Wang Chun juga dihadapi ramai mangsa lain di Sarawak terutama penduduk luar bandar.

“Kes seperti itu nyata menafikan hak anak-anak mereka dalam bidang pendidikan dan mengakibatkan mereka tidak punya peluang selain membantu ibu bapa mereka menguruskan pertanian semata.

“Wang Chun telah diberi kerakyatan ketika beliau lahir dan tinggal di Malaysia selama 12 tahun. Jadi ia amat tidak adil dan tidak munasabah untuk menarik balik taraf warganegara beliau, di manakah keadilan yang dijanjikan kerajaan selama ini?” soalnya.-Roketkini.com