Wawancara

Mary Josephine: Tidak wujud batasan bangsa dalam DAP

Kenali Mary Josephine Pritam Singh; seorang ibu, jururawat, aktivis dan wakil rakyat!

Nama: Mary Josephine Pritam Singh

Umur: 64 tahun

Pengalaman: Jururawat

Aktivis DAP selama 39 tahun

Jawatan dalam parti:  Timbalan Pengerusi Wanita DAP Kebangsaan

Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan

Beliau adalah  seorang bekas jururawat berdedikasi yang penuh dengan ciri-ciri keibuan. Cara pengucapan dan visinya cukup untuk menjadikan dirinya dihormati dan dikasihi. Daripada seorang jururawat yang berkhidmat di sebuah kilinik milik Penasihat  DAP, Dr Chen Man Hin, beliau telah mendedikasikan lebih 39 tahun hidupnya bekerja secara belakang tabir bersama DAP dan terbabit secara langsung membantu masyarakat setempat dan aktiviti parti.  Mary Josephine adalah anak jati kelahiran Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Beliau kini bergelar wakil rakyat setelag memenangi kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.  Ikuti wawancara eksklusif wartawan Roketkini.com Hafiz Zainuddin dan Aliff Fikri mengenai  pandangan dan isi hati seorang yang berpengalaman luas dalam gerak kerja parti. Foto oleh Wira Andika

Jika sebelum ini saudari adalah  seorang daripada aktivis yang hampir empat dekat berkhidmat kepada parti, kini sudah menjadi seorang wakil rakyat. Apa agenda utama yang akan saudari suarakan di Dewan Undangan Negeri?

Sebagai seorang ibu dan wanita. Saya melihat banyak konflik berlaku di sekeliling kita yang akhirnya memberi kesudahan tidak baik terhadap wanita. Bermula daripada masalah rumah tangga, anak, nafkah sehingga penderaan, wanita sering menjadi mangsa keadaan. Ini tidak boleh dinafikan.

Sudah tentu, selain menjadi suara kepada penduduk DUN Rahang, saya mahu mengangkat isu dan memperjuangkan golongan wanita khususnya di Negeri Sembilan.

Bagaimana?

Kita tidak boleh elak daripada ‘tanggapan budaya’ terhadap wanita yang kebanyakannya negatif seperti wanita lemah, duduk di rumah, hanya jaga anak, memasak untuk suami dan sebagainya. Sesuatu perlu dilakukan dan itu boleh diubah. Zaman sudah berlalu untuk terus berada dalam cara berfikir begitu.

Saya mahu memperjuangkan hak wanita agar diberi peluang untuk turut serta dalam masyarakat, bersama memajukan diri sendiri, kawasannya, negeri dan ke peringkat lebih tinggi. Bukan seperti dulu, golongan wanita hanya dilihat sesuai untuk duduk di rumah dan menjaga anak. Bagi saya, wanita tidak harus dikebelakangkan. Mereka perlu diketengahkan.

Rasanya, ada wanita yang memilih untuk ‘pasif’ sahaja. Memilih untuk ‘duduk di rumah’. Mengapa?

Saya faham. Boleh dikatakan, selain daripada nafkah yang cukup daripada suami, ini semua disebabkan anak. Tanggungjawab menjaga anak. Saya percaya, masih ramai di kalangan pasangan yang tidak mampu menggaji pembantu rumah atau menghantar anak mereka ke pusat jagaan. Selain itu, kita juga tidak boleh menolak faktor ketakutan ibu bapa sendiri untuk menghantar anak mereka di pusat jagaan memandangkan banyak berlaku kes penderaan.

Selain itu, ramai juga kalangan wanita berasa rendah diri akibat persepsi masyarakat atau budaya seperti yang dikatakan tadi. Ini yang kita perlu perbetulkan. Dengan pendedahan dan kefahaman. Apa yang saya mahu perjuangkan ialah supaya golongan wanita menonjoklkan diri ke hadapan agar mereka sendiri tahu bahawa diri dan sumbangan mereka amat bernilai kepada masyarakat.

Bagi merealisasikan perkara itu, apa yang boleh dilakukan?

Sebelum saya menjawab soalan ini, saya ingin tegaskan bahawa isu wanita dan pendidikan adalah menjadi keutamaan saya. Samada mereka berasal dari kampung, bandar, orang muda, orang berusia, kita harus memberi pendidikan kepada mereka. Bukan bermaksud pendidikan formal seperti di universiti. Maksud saya, pendidikan untuk menyemai tahap kesedaran wanita.

Kita boleh mendidik golongan wanita dengan bertemu mereka dalam pelbagai program dan aktiviti biarpun dalam skala kecil. Daripada situ, ia mampu memberi kesan secara langsung. Beritahu mereka mengenai kemampuan mereka, ajar mereka apa yang boleh dilakukan, didik mereka mengenai hak sebagai seorang wanita. Ini semua adalah asas yang perlu didedahkan.

Bagi saya, pendidikan dan wanita ibarat aur dengan tebing. Ia saling berkait.

Kurang pendidikan juga berkait dengan gejala gangsterisme, apa pandangan saudari?

Walaupun wanita bukan golongan yang ramai berbanding lelaki terbabit dalam gejala ini, saya berasa sangat sedih. Sepatutnya semua kita perlu berasa sedih. Saya sangat setuju bahawa kurang kesedaran akibat kurang pendidikan menjadikan gejala ini semakin berleluasa.

Saya mahu sifatkan isu ini sebagai kegagalan kerajaan untuk mendidik. Kenapa kerajaan? Kerana mereka adalah golongan pembuat dassar dan mengimplementasikan sesuatu dasar. Jika wujud ketidakseimbangan, maka masalah pun berlaku.

Gangsterisme bermula daripada adanya golongan yang tercicir mungkin sejak di bangku sekolah, bila mereka tercicir dalam pendidikan formal, mereka secara tidak langsung terpinggir daripada masyarakat dan membentuk kelompok mereka sendiri. di sinilah masalah bermula. Sebagai manusia, semua kita perlu survive, begitu juga mereka. Memang jika berlaku kecurian, pergaduhan, mereka bersalah atas tindakan mereka, itu benar. Pada masa yang sama, masalah pokok harus juga diambil kira, dasar yang dibuat kerajaan.

Maksudnya saudari salahkan kerajaan?

Saya bukan orang yang suka menyalahkan sesiapa. Memang masyarakat juga memainkan peranan, tetapi sejauh mana? Paling penting, apa yang perlu kita tahu ialah, pihak yang berkuasa iaitu kerajaan tidak melakukan kerja dengan baik. Tidak cukup baik.

Gengsterisme, keciciran dalam pendidikan awal persekolahan, kebanyakan isu ini berlaku di kalangan masyarakat India yang miskin terutamanya bagi mereka di estet atau  yang berhijrah ke bandar. Adakah mereka disisih?

Saya tidak mahu kata mereka disisih tetapi peluang mereka untuk mendapatkan peluang pendidikan masih kurang. Melalui dasar kerajaan, mereka boleh tercicir. Lebih malang lagi, apabila berlaku keciciran, pihak ibu bapa mereka pula mungkin tidak begitu menekankan pendidikan kerana mereka mungkin mempunyai kesedaran kepentingan pendidikan yang rendah.

Jika ibu bapa tinggal di estet, kebiasaannya anak juga akan tinggal dan bersekolah di sekitar estet. Cuma di bandar, apa yang sedikit berbeza, anak sudah mempunyai kesedaran terhadap pendidikan. Buat golongan belia, mereka juga sedar dan faham terhadap pentingnya menyuarakan hak asas seperti pendidikan yang sepatutnnya dinikmati bersama.

Keciciran sebab dasar kerajaan…

Ya, kita tak boleh nafikan itu antara sebabnya. Saya ada satu kes di mana ada seorang pelajar perempuan tahun tiga yang menuntut di sebuah kolej swasta datang berjumpa saya sebaik sahaja lepas pilihan raya, beliau mengadu sebab tidak mampu membayar yuran peperikaan. Ibunya hanya seorang ibu tunggal yang kematian suami. Mereka tidak berkemampuan membayar yuran. Di sinilah dasar bantuan pendidikan daripada kerajaan diperlukan.

Bercakap soal masyarakat India, adakah mereka masih kuat menyokong Pakatan Rakyat khususnya DAP?

Mengikut pemerhatian saya, masyarakat India dalam DAP atau di luar parti yang menyokong kita tidak menukar pendirian mereka sejak 2008. Mereka masih kukuh berpegang pada apa yang mereka faham dan tahu. Tidak swing.

Apa yang saya nak beritahu daripada kawasan saya, Rahang, mereka memang mahu perubahan di peringkat yang lebih luas demi masa depan anak mereka. Propaganda yang mengatakan masyarakat India beralih arah kepada BN adalah tidak benar. Saya tidak nampak ia berlaku kerana di kawasan saya sendiri, undi masyarakat India begitu juga Melayu meningkat. Mereka mahu ubah.

Apa orang India mahu?

(Tersenyum) Soalan ini juga perlu ditanya kepada setiap warga Malaysia. Apa orang India mahu? Mudah saja. Mereka mahukan perubahan untuk masa depan yang lebih baik contohnya dalam bidang pendidikan, kebajikan dan dasar.

Anak-anak tidak boleh maju ke hadapan dalam pendidikana kerana kebanyakan keluarga mereka kurang kemampuan. Ini realiti. Masalah kemiskinan dan sosial. Mereka mahu keluar daripada belenggu kemiskinan.

Saya rasa, ia bukan saja bagi masyarakat India. Begitu juga masyarakat Melayu, Cina dan seluruh rakyat Malaysia. Dengan adanya sebuah kerajaan yang prihatin, berkebajikan, telus, saya dapat merasakan semakin ramai warga Malaysia yang miskin, tercicir dapat satu kehidupan baru yang lebih baik.

Untuk itu, adakah DAP paling sesuai sebagai wadah perjuangan semua?

Ya sudah pasti. Saya sendiri sebagai contoh. Saya bekerja untuk masyarakat. Memberi khidmat kspada mereka. Saya berada bersama DAP sudah 39 tahun dan masih di sini. Sebab saya diperlihatkan dengan kesungguhan perjuangan parti, disiplin, dan prinsip parti yang memang jelas untuk seluruh rakyat Malaysia.

Tapi ramai orang Cina dalam DAP…

(Senyum) Apa masalahnya? Saya tidak lihat ada masalah langsung di sini kerana apa yang berlaku, saya tidak dipinggirkan. Tidak didiskriminasi. Saya boleh lakukan apa yang orang lain lakukan. Saya tidak merasa wujud batasan bangsa dalam DAP walaupun majoriti ahlinya berketurunan Cina. Warna kulit bukan halangan, yang penting adalah persefahaman dan semangat sense of belonging. DAPlah platform saya beri khidmat selama ini kepada semua orang.

Nasihat, pesanan saudari untuk semua.

Bersama dengan perjuangan politik bagi saya adalah sesuatu yang indah kerana apa yang anda buat adalah untuk masyarakat, untuk negara, sekaligus generasi akan datang. Apa pun, bagi golongan wanita, untuk bersama aktif dalam politik, anda juga perlu mendapat sokongan suami dan anak. Ini antara kekuatan kita. Paling penting, terjun dalam bidang politik, anda harus sentiasa bersedia.-Roketkini.com