Berita

Teater “SELAK:SERAK”, dedikasi buat mangsa kematian dalam tahanan

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Sebuah teater yang didedikasikan kepada mangsa kematian dalam tahanan pihak berkuasa berjudul “SELAK:SERAK” akan dipentaskan untuk tontotan umum ini di PJ Live Arts, Jaya One, Petaling Jaya, mulai 11 hingga 14 Julai ini.

Teater “SELAK:SERAK” produksi Rumah Anak Teater (RAT) adalah arahan Ayam Fared, seorang penulis dan artis yang memenangi anugerah Pengarah Terbaik dalam BOH Cameronian Arts Awards 2012.

Menurut Pengarah Urusan RAT, Faisal Mustaffa, pementasan teater itu dibuat pada Julai bersempena memperingati ‘bulan kematian’ bagi mendiang Teoh Beng Hock dan R Gunaegaran.

“Kami mahu memberi kesan kepada masyarakat supaya sedar mengenai keganasan pihak berkuasa terutamanya polis terhadap mangsa dalam tahanan mereka,” katanya.

Menurut beliau, budaya penderaan dan keganasan oleh pihak berkuasa perlu dibanteras kerana tidak mustahil kes sebegini akan berulang.

“Tidak mustahil ia juga boleh berlaku kepada kita, kepada keluarga kita. Kita tidak boleh menganggap pihak polis atau pihak berkuasa lain kebal daripada dikenakan hukuman,” tegas beliau.

Bagi Pengarah Teater, Ayam Fared, isu ini bukan semata-mata mengetengahkan atau sekadar memperingati kematian Beng Hock.

“Kematian Beng Hock bukan sekadar isu yang membabitkan keluarga atau temannya. Kematian beliau membabitkan kita sebagai rakyat Malaysia. Ini adalah isu serius membabitkan keganasan pihak berkuasa.

“Di Malaysia, banyak kes yang berlaku, tapi tidak selesai,” ujar beliau.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Menurut beliau, Pemuda Sosialis DAP menyokong penuh segala usaha menganjurkan teater ini demi meningkatkan kesedaran masyarakat betapa pentingnya peri kemanusiaan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Kematian dalam tahanan pihak berkuasa adalah isu serius. Apa yang kita dapat tahu melalui pendedahan di Parlimen, dari 235 tahanan yang mati, hanya dua kes yang didapati bersalah.

“Kita amat berharap, pementasan teater ini dapat bantu mendidik masyarakat bahawa mereka mempunyai hak. Pihak penyiasat tidak punya apa-apa kuasa untuk menghukum selagi tidak dijatuhkan kesalah oleh mahkamah,” ujarnya.

Menurut wakil Suara Rakyat Malaysia (SUARAM),Thevarajan, inisiatif RAT patut dipuji dan diperluaskan.

“Pada tahun lalu, sembilan kematian dalam tahanan polis dicatatkan dan tahun ini saja meningkat kepada 10 orang. Nampaknya, perkara itu tidak pernah berhenti dan ia mewajarkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC),” katanya.

Bagi Koordinator NGO Malaysia for Beng Hock, Ng Yap Hwa, teater ini mewakili semua kes kematian dalam tahanan pihak berkuasa yang berlaku di Malaysia.

“Kes Beng Hock meningkatkan kesedaran masyarakat. Ia mempunyai elemen politik sama seperti yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa reformasi.

“Adalah amat penting bagi NGO atau mana-mana pihak memperjuangkan mereka yang dizalimi pihak berkuasa,” katanya.

Pementasan “SELAK:SERAK” yang berdurasi 60 minit ini bakal menampilkan dua kolaborator dan pelakon Lorna Hoong, seorang graduan tari Akademi Seni budaya dan Warisan Malaysia (ASWARA) yang giat dalam pelbagai pementasan, lakonan dan penerbitan digandingkan bersama kolaborator Khairil Ridzuan K’N yang merupakan seorang graduan lakonan dari ASWARA dan giat dalam dunia lakonan filem seperti Hati Malaya 1957, Songlap, Jalan Pintas dan Gadoh.

Pementasan “SELAK: SERAK” akan dimulakan jam 8.30 malam pada 11 hingga 13 Julai manakala jam 3.00 petang pada 13 dan 14 Julai ini.

Tiket boleh didapati terus di PJ Live Art, Jaya One Petaling jaya atau secara online di www.tix.my berharga RM50, RM30 dan RM25 bagi pelajar dan OKU. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-79600439 atau 017-2289849. –Roketkini.com