Berita

ADUN DAP Selangor selar sikap kerajaan tidak tumpu atasi jenayah

SHAH ALAM, 4 JULAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Selangor mengecam sikap kerajaan yang tidak peduli dan memandang ringan masalah jenayah di Selangor yang semakin meningkat kebelakangan ini.

ADUN DAP Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, sikap acuh tidak acuh itu mengakibatkan jenayah menular ke kawasan luar bandar.

“Masalah ini semakin parah dan merebak ke kampung dan luar bandar.

“Sebagai contoh, beberapa bulan lalu bekas ADUN Sekinchan, Datuk Chia Kim Lem dari MCA diculik oleh empat penjenayah. Bayangkan bekas ADUN pun diculik, apatah lagi orang biasa.

“Kita juga mendapat pelbagai aduan mengenai masalah pecah rumah, ragut dan sebagainya. Apa yang Kementerian Dalam Negeri dan polis buat? Sibuk pantau pimpinan Pakatan Rakyat sedangkan jenayah semakin menjadi-jadi, jangan buang masa saja,” katanya di Lobi Dewan DUN Selangor.

ADUN DAP Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran pula menyelar sikap pilih kasih kerajaan dalam meluluskan permohonan polis bantuan.

“Di Johor Bahru, pada tahun lalu, Kerajaan Persekutuan meluluskan polis bantuan tapi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah tiga kali memohon tetapi masih tidak mendapat jawapan.

“Permohonan telah dibuat pada 2009, 2012 dan yang terakhir tahun ini, ini sangat tidak adil. Mengapa hanya Johor Bahru saja yang dapat? Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tempat lain pula dianaktirikan,” tegasnya.

Pada masa sama, ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin menambah, jumlah polis sedia ada sekarang tidak cukup untuk menangani masalah jenayah di Selangor.

“Statistik Malaysia menunjukkan bahawa satu polis boleh menjaga 270 orang tapi di Selangor satu polis adalah untuk 470 orang.

“Kita sudah banyak kali suarakan masalah tidak cukup anggota, tapi Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mahu membuat sebarang tindakan.

“Jadi sekarang kita sendiri perlu menubuhkan polis bantuan untuk meramaikan jumlah anggota atau meluluskan permohonan polis bantuan,” ujarnya. – Roketkini.com