Isu Semasa

Kit Siang terkejut Shahidan percaya pembohongan “Red Bean Army”

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hairan dan terkejut apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassin sanggup mempercayai pembohongan mengenai “Tentera Kacang Merah” (Red Bean Army)  dianggotai 3,000 cybertrooper yang dibiayai DAP.

Katanya, ini mendorong Shahidan menyiapkan kertas siasatan untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet, Jumaat ini sebagai respon terhadap memorandum daripada 130 NGO Melayu-Muslim yang menuntut agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat cybertrooper “Tentera Kacang Merah”.

“Shahidan dikatakan akan mencadangkan kepada Kabinet penubuhan RCI untuk menyiasat kenyataan perkauman dan menghasut oleh Utusan Malaysia sejak empat tahun lalu jika 1,000 atau 2,000 rakyat Malaysia menandatangani memorandum menuntut perkara ini

“Saya sanggup jamin bahawa memorandum menuntut penubuhan RCI ke atas Utusan Malaysia akan didukung oleh fakta dan bukannya pembohongan seperti memorandum “Tentera Kacang Merah”.

“Jika Shahidan boleh memberi kepastian bahawa memorandum berfakta yang ditandatangani oleh ribuan atau puluhan ribu rakyat Malaysia yang menuntut penubuhan RCI untuk menyiasat Utusan Malaysia akan dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet, saya bersedia untuk menyiapkan memorandum berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di Parlimen, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, dakwaan mengenai “Tentera Kacang Merah” yang dianggotai 3,000 cybertrooper yang ditaja DAP dengan dana antara RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu untuk memburuk-burukkan pemimpin kerajaan adalah sangat mengarut.

Menurutnya, fitnah menggila itu bukan saja membabitkan menteri dan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang sanggup menyebut pembohongan itu di dalam dan luar Parlimen seolah-olah ia satu perkara yang benar.

Katanya, kelmarin, sekurang-kurangnya dua Ahli Parlimen BN bercakap mengenai “Tentera Kacang Merah”, tetapi kredibiliti mereka tidak lebih baik daripada Ahli Parlimen Gerakan Simpang Renggam, Liang Teck Meng, yang mencipta sejarah dengan mengaibkan dirinya sendiri.

Teck Meng mendakwa beliau mendapat maklumat daripada Wikileaks yang menyebut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim “memiliki 30 akaun bank asing” bernilai RM332 juta di empat negara, termasuk Israel, sedangkan maklumat itu tidak terdapat dalam WikiLeaks tetapi direka oleh cybertrooper UMNO untuk dimuatkan dalam blog mereka.

“Begitu juga dengan helah “Tentera Kacang Merah”, cerita mengenai Anwar itu adalah satu lagi contoh bagaimana cybertrooper UMNO/BN menipu pemimpin mereka sendiri!

“Adakah Teck Meng bersedia untuk mengaku bahawa beliau telah bercakap bohong di Parlimen dan menyerah diri kepada Jawatankuasa Hak Kebebasan dan Keistimewaan Parlimen untuk menerima hukuman yang sewajarnya,” katanya.

Kit Siang berkata, kalangan yang mahukan RM350 juta untuk membiayai cybertrooper UMNO/BN untuk tempoh lima tahun akan datang perlu berani tampil untuk menjelaskan mengapa mereka memerlukan sejumlah itu dan bukannya bergantung pada pembohongan mengenai “Tentera Kacang Merah” khayalan bagi menguatkan tuntutan mereka.

“Pihak yang mereka dongeng “Tentera Kacang Merah” bahkan sanggup mendakwa bahawa tentera itu mempunyai beberapa pusat operasi di seluruh negara termasuk menyebut dua tempat iaitu di Komtar, Pulau Pinang, dan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

“Ahli Parlimen DAP akan melawat Hotel Concorde untuk mengetahui di manakah “pusat kawalan” bagi “Tentera Kacang Merah” yang mistikal itu,” katanya.-Roketkini.com