Berita

Lagi fitnah zalim terhadap DAP: Melayu diajak benci Melayu?

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu menampal poster fitnah terhadap bekas calon DAP Parlimen  Tanjung Piai, Mahdzir Ibrahim, dan menyifatkannya sebagai satu ancaman politik yang tidak sihat.
Poster yang ditampal sekitar Simpang Renggam di Johor tertera gambar Mahdzir dengan kata-kata ancaman seperti “Barua DAP yang menghancurkan orang Melayu”.

Lebih tidak bertanggungjawab dan berniat jahat serta menghasut, poster itu yang ditampal tanpa nama dan apa-apa butiran turut menyertakan butir-butir peribadi Mahdzir seperti nombor telefon dan nombor kad pengenalan.

Apabila dihubungi, Ketua Pemuda DAPSY, Teo Kok Seong berkata perbuatan  ini adalah sikap bacul yang amat tidak bertanggungjawab.

“DAP adalah parti pelbagai kaum. Ini sangat jelas. Kita mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini,” tegas beliau.

Menurut Ahli Parlimen Rasah itu, politik di Malaysia haruslah ke hadapan, matang dan bukannya dengan tindakan kebudak-budakan ibarat baling batu sembunyi tangan.

“Ini perbuatan tak matang malah paling berbahaya, ia boleh mencetuskan kebencian dan mengancam diri mangsa fitnah,” katanya.

Sehubungan perkara ini,beliau berharap Mahdzir meneruskan perjuangannya membina dan mengukuhkan masyarakat dengan idea demokrasi yang sebenar.

“Masyarakat dan negara kita perlu bebas dari politik benci. Masyarakat harus terus dididik dengan peranan sebenar parti-parti politik yang ada dalam negara kita. Ini harus menjadi keutamaan,” ujar Kok Seong.

Mahdzir adalah Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAPSY Kebangsaan dan merupakan Setiausaha Politik kepada Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong.

Dalam Pilihan Raya Umum ke 13 lalu (PRU13), biar pun tewas kepada calon MCA Datuk Wee Jeck Seng, Mahdzir berjaya mendapat 19,581 undi dengan peningkatan 8,650 undi berbanding hanya 10,931 undi yang diperolehi DAP pada PRU 2008 lalu.-Roketkini.com