Berita

Kalah saman bukti Utusan Malaysia pembohong, pemfitnah

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Utusan Malaysia membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dan kos guaman RM30,000 kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berhubung isu nombor pendaftaran kenderaan WWW1 adalah bukti terbaru media UMNO itu melakukan pembohongan dan fitnah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia juga satu lagi bukti usaha berterusan Utusan Malaysia untuk menerajui Program Tranfsormasi Media Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertujuan mengubah berita menjadi pembohongan, kebenaran menjadi kepalsuan, fakta menjadi khayalan dan maklumat menjadi penipuan.

Katanya, Utusan Malaysia juga memainkan peranan sebagai peneroka program transformasi dan dalam usahanya itu ia mencipta rekod baru bagi media di peringkat dalam negeri dan antarabangsa sebagai media yang bukan saja paling kerap disaman, malah paling kerap kalah dalam saman fitnah.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam dua saman fitnahnya terhadap Utusan Malaysia menerima ganti rugi berjumlah RM400,000. Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh pula menerima ganti rugi RM50,000 kerana saman fitnah berhubung artikel yang menggambarkan Karpal sebagai anti Islam.

Pada Januari lalu, Mahkamah Tinggi juga memerintahkan Utusan Malaysia membayar ganti rugi sebanyak RM45,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung artikel mengenai wawancara BBC yang ditafsir dengan menggambarkan Ketua Pembangkang itu sebagai seorang yang pro-LGBT.

“Sejak empat tahun lalu, Utusan Malaysia memberi tumpuan menampilkan khayalan sebagai fakta. Justeru itu Utusan Malaysia bukan lagi sebuah akhbar berita, sebaliknya “akhbar auta” – ini adalah satu daripada sebab utama UMNO/Barisan Nasional (BN) kalah dalam “perang persepsi” ketika Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu kerana Najib dan penyusun strateginya PRU-13 percayai mereka boleh menang perang kredibiliti dan persepsi dengan mengubah berita menjadi pembohongan, kebenaran menjadi kepalsuan, fakta menjadi khayalan dan maklumat menjadi penipuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, selama empat tahun, Utusan Malaysia memfitnah, pembohong, palsu dan perkauman serta menghasut, antaranya dakwaan tidak berasas bahawa DAP mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian, bahawa kaum Cina mahu menghapuskan kuasa politik Melayu dan membolot politik Malaysia, serta pembohongan terbaru tentang “Red Bean Army” yang kononnya dianggotai 3,000 tentera cybertrooper dan dibiayai DAP untuk memburuk-burukkan pemimpin UMNO/BN.

Menurut beliau, dakwaan tidak berasas mengenai “Red Bean Army” kononnya beroperasi dengan peruntukan antara RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu dan beroperasi dari Hotel Concorde, Kuala Lumpur, adalah pembohongan dan khayalan Utusan Malaysia yang paling mengarut, tetapi ia digambarkan sebagai kebenaran dan fakta.

“Lebih mengejutkan, ada Menteri dan Ahli Parlimen yang mempercayai pembohongan itu sehingga mereka membiarkan isu itu menguasai perbahasan di Parlimen pada sidang yang berlangsung sejak minggu lalu ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong,

“Jika Utusan Malaysia boleh mengubah Parlimen dan Kabinet kepada “Red Bean Parlimen” dan “Red Bean Kabinet” untuk membincangkan cerita dongeng Utusan seolah-olah benar dan serius, kedudukan Najib telah menjunam ke paras paling rendah.

“Jadi tidak hairanlah empat tahun Program Transformasi Kerajaan Najib untuk mengubah politik Malaysia, ekonomi, pendidikan dan sosial termasuk media, Malaysia telah mencecah paras terendah dalam Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia 2013, yang disenaraikan ke-145, yang paling teruk sejak dimulakan pada 2002,” katanya.-Roketkini.com