Berita

Rang undang-undang pertukaran agama bertentangan konvensyen PBB

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menyifatkan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 bagi menentukan agama kanak-kanak adalah bertentangan dengan semangat Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dipersetujui Malaysia pada 17 Februari 1995.

“Tujuan CRC adalah untuk menggabungkan hak asasi manusia, budaya, ekonomi, politik dan hak sosial kanak-kanak yang memerlukan satu konvensyen khas hanya untuk mereka kerana mereka yang di bawah 18 tahun sering memerlukan penjagaan istimewa.

“Sebagai anggota CRC, Malaysia mengakui bahawa kedua-dua ibu bapa mempunyai tanggungjawab bersama bagi mendidik dan memastikan perkembangan kanak-kanak.

“Penukaran unilateral kecil ini akan menyebabkan kesan yang besar terhadap perkembangan kanak-kanak dan ia perlu dikaji semula serta ditarik balik serta-merta,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP menegaskan permasalahan itu perlu dirujuk kepada Perkara 18 Artikel CRC yang dengan jelas menyatakan mengenai tanggungjawab ibu-bapa terhadap anak mereja.

“Perkara 18 menyatakan negara hendaklah menggunakan usaha terbaik mereka untuk memastikan pengiktirafan prinsip bahawa kedua-dua ibu-bapa mempunyai tanggungjawab bersama bagi mendidik kanak-kanak.

“Kepentingan terbaik kanak-kanak merupakan perkara asas yang perlu diutamakan.

“Bagi menjamin dan menggalakkan hak yang dinyatakan dalam konvensyen itu, negara hendaklah memberi bantuan sewajarnya kepada ibu bapa atau penjaga yang sah dalam melaksanakan tanggungjawab pembesaran mereka dan memastikan perkembangan institusi, kemudahan dan perkhidmatan disediakan,” katanya. -Roketkini.com