Berita

Peruntukan tambahan SPR: Timbalan Pengerusi SPR menipu

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Rakyat Malaysia terus dikelirukan dengan kenyataan bohong dan berbelit-belit Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berhubung perbelanjaan agensi itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, jika sebelum ini SPR mendakwa perbelanjaan mereka  tidak lebih RM400 juta, tetapi mengapa dalam bacaan Peruntukan Tambahan 2012 yang diluluskan, peruntukan tambahan untuk SPR ditambah lagi sebanyak RM60 juta.

“Semalam, Wan Ahmad ketika menjawab pertanyaan saya berkata bahawa peruntukan RM400 juta untuk SPR itu cuma anggaran sahaja, tidak pernah pakai lebih RM400 juta.

“Tetapi mengikut ringkasan peruntukan asal di sini, kertas Perintah 17A, anggaran asal peruntukan tambahan SPR pada 2012 ialah RM45.3 juta dalam jadual lalu, ia pernah ditambah sekali sebanyak RM360 juta dan peruntukan tambahan kali ini RM60 juta  menjadikan jumlah peruntukan RM465.34 juta bagi SPR sahaja. Adakah Wan Ahmad ini bercakap tanpa fakta dan cuba sembunyikan fakta sebenar?,” soalnya di lobi Parlimen hari ini.

Loke yang juga Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan berkata, semalam Timbalan Pengerusi SPR itu membuat kenyataan dengan tegas bahawa perbelanjaan SPR “tak sampai RM400 juta!”.

“Itulah yang kita nak persoalkan hari ini di Dewan Rakyat, kenapa pula perlu tambahan RM60 juta.

“Amat jelas bahawa apa yang diperuntukkan di sini melebihi RM400 juta. Sekali lagi Datuk Wan Ahmad membuktikan bahawa diri beliau adalah penipu, cuba mengelak daripada fakta, dan sekali lagi menunjukkan beliau tidak ada integriti sebagai Timbalan Pengerusi SPR,” jelasnya.-Roketkini.com