Berita

ADUN DAP Damansara Utama anggap sekatan KPN terhadap polis bantuan MBPJ tidak masuk akal

PETALING JAYA, 9 JULAI: ADUN DAP Damansara Utama, Yeo Bee Yin menganggap sekatan yang dikenakan ke atas pasukan polis bantuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah sangat tidak munasabah.

Beliau berkata, walaupun mengalu-alukan kelulusan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menyediakan pasukan polis tambahan namun sekatan terhadap MBPJ dengan hanya membenar menjaga bangunan dan kompleks mahkamah amat tidak masuk akal.

“Kami terkejut dengan sekatan yang dikenakan terhadap polis bantuan dengan hanya membenar untuk mengawasi bangunan MBPJ dan kompleks mahkamah.

“Kami bingung dengan cadangan KPN yang menyatakan MBPJ boleh menyewa pegawai penguatkuasa bagi mengganti polis bantuan untuk membantu keselamatan kejiranan,” katanya yang juga Strategis Media Sosial DAP dalam kenyataan, hari ini.

Seperti yang dilaporkan The Star hari ini, Khalid mengesahkan kelulusan permohonan MBPJ untuk pasukan polis bantuan.

MBPJ telah memohon polis bantuan sejak 2009 dan aplikasi yang paling baru bertarikh Jun 2012 adalah percubaan ketiga.

“Kami tidak dapat mencari logik dengan cadangan KPN bahawa polis bantuan bersenjata dibenarkan menjalankan tugas mereka di bangunan MBPJ dan mahkamah tetapi pegawai penguatkuasa tidak bersenjata pula hanya sekadar membuat rondaan di jalan dalam menghadapi penjenayah yang berpotensi bersenjata dan berbahaya,” katanya.

Beliau juga menggesa KPN menimbang semula sekatan ke atas polis bantuan MBPJ itu.

“Ini supaya mereka dapat menjalankan tugas di mana-mana tempat yang memerlukan dan tidak terhad kepada kawasan tertentu sahaja,” katanya.

Kelulusan KPN dan Kementerian Dalam Negeri dalam pembentukan polis bantuan adalah perlu mengikut Artikel Sembilan, Akta Polis 1967. – Roketkini.com