Berita

DAP desak polis siasat menyeluruh kes kematian anggota RELA

PUCHONG, 9 JULAI: Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo mendesak polis menyiasat secara menyeluruh kematian seorang anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Chong Foo Ming, 53, yang ditahan kerana melanggar lampu isyarat merah di Jalan Barat off Jalan Imbi, Kuala Lumpur, 4 Julai baru-baru ini.

Mengiut laporan akhbar China Press yang memetik sumber Polis, mulut Chong Foo Ming didapati berbuih setelah ditiarap dan tangan digari ke belakang sebelum badannya lemah dan disahkan mati di hospital kira-kira jam 1.43 pagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad pula berkata, laporan bedah siasat mengesahkan tidak wujud sebarang kesan kecederaan dalaman atau luaran manakala jantung serta organ dalaman berada dalam keadaan baik.

“Polis tahan, tiarapkan dan gari tangan mangsa di belakang. Kami mahu tahu bagaimana orang yang sihat ini boleh mati dengan tiba-tiba,” soal beliau pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Gobind yang juga Ketua Biro Undang-undang DAP Kebangsaan menimbulkan persoalan itu samada pihak polis menggunakan kekasaran ketika menahan mangsa dan jika ia berlaku, perkara itu dianggap luar biasa kerana kesalahan mangsa cuma melanggar lampu isyarat.

“Kami ada saksi dan pelanggan yang merakamkan kejadian itu menggunakan telefon bimbit. Kita juga ada dua rakaman klip video dan sedia untuk mendedahnya. Pada masa sama kami mahu tahu samada polis mempunyai rakaman video.

“Kita tidak mahu salahkan sesiapa. Siasatan perlu dilakukan segera, sebab itu kami mahu polis menjalankan siasatan menyeluruh tanpa berselindung. Paling penting sekarang, polis kena siasat dengan telus! Saya juga telah beri notis kepada Ketua Polis Negara,” ujar beliau tegas.

Sambil melahirkan rasa sedih dan kecewa, anak perempuan mendiang, Doriss Chong Mei Ying, 31, berkata beliau mewakili keluarganya mahu perkara ini disiasat secara adil dan telus.

“Kami menuntut kebenaran dan mahukan satu siasatan yang adil, telus dan jujur. Kita tidak mahu perkara itu berlaku lagi kepada orang lain,” katanya.

Laporan Hak Asasi Manusia yang dikemukakan SUARAM pada 23 Julai 2009 menyatakan sejumlah 1,535 tahanan lokap mati antara 2003 dan 2007, seramai 255 mati dalam penjara dan 13 lagi mati dalam lokap pada 2008.

Pada Mac 2009, Menteri Dalam Negeri ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong pula menyatakan seramai 2,571 tahanan mati dalam penjara, pusat pemulihan, depot tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) antara 1999 dan 2009.  Daripada jumlah itu, 2,563 tahanan mati ketika rawatan di hospital, 22 mati dalam perjalanan ke hospital dan 13 mati dalam penjara.

Pada 2012, sembilan kematian dalam tahanan polis dicatatkan dan tahun ini pula ia meningkat kepada 11 orang.-Roketkini.com