Berita

Guan Eng desak tubuh badan bebas siasat kes rogol atlet SUKMA

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa agar badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat kes rogol membabitkan atlet bola baling Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Beliau juga mahu jaminan jelas daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berhubung tahap keselamatan di asrama atlet perempuan.

“Jika Khairy Jamaluddin gagal memberi jaminan itu, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menimbang semula penyertaan atlet wanita dalam SUKMA pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau juga mendesak pihak penganjur mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan keselamatan longgar di UPM.

“Wujud aduan mengenai kawalan keselamatan yang longgar di asrama perempuan walhal kementerian dan pihak penganjur memberi jaminan bahawa keselamatan berada di tahap yang memuaskan.

“Keselamatan yang longgar sehingga jenayah seksual memalukan itu berlaku bukan sahaja mencalar imej SUKMA, malah reputasi sukan antarabangsa di Malaysia,” ujar Ahli Parlimen Bagan itu.

Katanya, isu keselamatan perlu dititikberatkan bagi memastikan atlet perempuan berada dalam keadaan selamat dan kejadian memalukan itu tidak berulang.-Roketkini.com