Berita

Azlan Yusof calon PAS mampu rampas DUN Kuala Besut

KUALA BESUT, 10 JULAI: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menamakan seorang ahli perniagaan, Azlan Yusof, 48, yang juga anak tempatan Kuala Besut sebagai calon yang mampu merampas kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, 24 Julai ini.

Azlan yang lebih dikenali dengan panggilan Che Long diperkenalkan sebagai calon PRK kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada majlis di Kampung Nail, malam tadi.

Beliau adalah seorang ahli perniagaan yang dikenali dan berpengaruh di sekitar Kuala Besut dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk menambah kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.

PR pada sidang media semalam sepakat menyatakan sokongan penuh kepada pemilihan calon PAS itu.

Sidang media itu dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, DAP akan membantu dan turut berkempen bagi memastikan calon PAS itu memperoleh kemenangan pada PRK Kuala Besut, 24 Julai ini.

“Kami akan memberi sokongan padu kepada Azlan yang dipilih bertanding dan berharap semua pengundi di Kuala Besut memberi sokongan padu dan memenangkan calon PAS itu dengan majoriti lebih besar berbanding yang dicapai BN,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Kuala Besut pada 12 Julai ini dan hari mengundi pada 24 Julai ini.

PRK Kuala Besut dadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, selepas 50 hari memenangi kali kedua sebagai ADUN.

Azlan yang mewakili PAS akan menentang calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.-Roketkini.com