Berita

DAP bawa suara golongan muflis ke Parlimen

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Seramai 246,357 individu telah diisytiharkan muflis secara automatik sehingga hari ini oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) dan mereka tidak boleh ke luar negara.

Demikian jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berhubung pertanyaan lisan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim di Parlimen, baru-baru ini.

Menurut Teresa, halangan untuk mereka yang muflis ke luar negara akan menyukarkan golongan itu mencari peluang demi memperbaiki kehidupan dan situasi getir yang dihadapi mereka.

“Ketika kempen pilihan raya umum lalu, saya telah menerima beberapa aduan supaya isu ini dipanjangkan ke Parlimen.

“Aduan ini antara lain memohon agar kerajaan memudahkan urusan mereka supaya dapat keluar daripada status muflis sebagaimana yang dipraktikkan di negara lain,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan jawapan menteri berkenaan, Subseksyen 38(1)(c) Akta Kebankrapan 1967 [Akta 360] melarang individu yang diisytiharkan bankrap untuk ke luar negara melainkan dibenarkan Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia.

Untuk keluar daripada status bankrap, terdapat tiga kaedah yang diperuntukkan di dalam Akta 360 iaitu:
(i) Pelepasan melalui Perintah Mahkamah [Seksyen 33(3) Akta 360];
(ii) Pelepasan melalui Sijil Pelepasan oleh Ketua Pengarah Insolvensi [Seksyen 33A Akta 360]; dan
(iii) Pembatalan melalui Perintah Mahkamah [Seksyen 105 Akta 360];

“Menteri juga telah memaklumkan bahawa draf Rang Undang-Undang Kebankrapan ini telah dibawa kepada perhatian Jabatan Peguam Negara dan sesi perbincangan sedang dijalankan.

“Kami minta perkara ini dipandang serius dan segera dapat diselesaikan,” kata Teresa.

Tahun lalu, seramai 241,740 orang diisytihar muflis di Malaysia dan apa yang berlaku pada tahun ini menunjukkan peningkatan. Paling menyedihkan majoriti di kalangan mereka membabitkan golongan muda.

Kementerian Kewangan dalam satu jawapan di Parlimen ketika itu memberitahu antara sebab utama golongan itu muflis adalah akibat kegagalan membayar pinjaman perumahan dan kereta. – Roketkini.com