Berita

DAP gesa kerajaan tamatkan hukuman mati mandatori

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong menggesa kerajaan supaya mengadakan ‘moratorium’ untuk mengkaji semula undang-undang hukuman mati mandatori kerana ia hukuman kuno.

Chin Tong dalam kenyataannya semalam berkata, sudah tiba masanya hukuman mati dikaji semula kerana ia adalah satu bentuk hukuman kuno yang tidak selaras dengan norma antarabangsa.

“Saya menyeru kepada kerajaan supaya sekurang-kurangnya mengkaji undang-undang yang membenarkan kematian seperti hukuman mati mandatori dan kembalikannya kepada budi bicara hakim,” katanya.

Merujuk kepada angka yang diberi Kementerian Dalam Negeri (KDN), Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP menyatakan terdapat 964 orang selepas 10 Jun lalu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sejak 28 Februari 2012 apabila 860 banduan hukuman mati menunggu rayuan manakala 22 Februari 2011, 696 orang menunggu hukuman mati.

Daripada jumlah itu, 912 adalah pesalah lelaki dan 52 wanita. 647 daripada banduan hukuman mati adalah warganegara Malaysia dan 317 warga asing, bersamaan 33 peratus.

“Hukuman mati adalah hukuman yang tidak berperikemanusiaan. Mustahil untuk menghapuskan kesilapan manusia dan ketidakberkesanan hukuman sebagai penghalang juga menimbulkan banyak isu.

“Perlu ada pindaan untuk memberi kuasa kepada hakim bagi menggantikan hukuman mati dengan penjara yang lebih lama contohnya terhadap pengedar dadah,” tegasnya.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, antara 1960 dan Februari 2011, 441 orang telah digantung dan daripada jumlah itu, 228 terbabit dalam pengedaran dadah dan 78 disabitkan dengan kes pembunuhan. -Roketkini.com