Berita

DAP mahu Zahid minta maaf kepada Tun Dzaiddin

PETALING JAYA, 10 JULAI: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disaran meminta maaf kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah kerana menghina kepakaran undang-undang beliau dalam memberi saranan supaya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis ( IPCMC).

“Apa munasabahnya Menteri Dalam Negeri mengatakan bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja  untuk menyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan cadangan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan untuk mewujudkan IPCMC, sedangkan Pengerusi Suruhanjaya itu sendiri ialah Mohamed Dzaiddin, Ketua Hakim Negara ke-9,” ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut Guan Eng. tuduhan liar Zahid adalah satu penghinaan kepada reputasi bekas hakim tertinggi di Malaysia itu serta mempertikaikan kemahiran undang-undang beliau kerana membuat cadangan yang kononnya bertentangan dengan Perlembagaan.

“Zahid bukan seorang peguam, beliau sepatutnya meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya memajukan hujah perundangan mengenai bagaimana penubuhan IPCMC itu bertentangan Perlembagaan.

“Sekiranya Zahid gagal membuktikan tuduhannya, beliau patut memohon maaf kepada Mohamed Dzaiddin kerana menghina kepakaran undang-undang beliau,” tegas Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. – Roketkini.com