Berita

DAP saran kerajaan lebih serius tangani gejala rasuah

PETALING JAYA, 10 JULAI: DAP menyarankan kepada kerajaan supaya mengatur dan merancang dengan teliti jika benar-benar serius untuk memerangi rasuah sekaligus menurunkan prestasi negara dalam indeks rasuah.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, sudah tiba masanya kerajaan menghapuskan perangai hanya pandai bercakap kosong, memuji diri sendiri dan mencari pelbagai alasan dalam menangani hal yang berkaitan rasuah.

“Kata-kata remeh dan permohonan maaf seperti yang dilakukan bekas Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low baru-baru ini tidak membantu dalam perjuangan menentang rasuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menipu rakyat dalam usaha membasmi rasuah ke arah mencapai tuntutan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Sejak empat tahun lalu, Najib dan pasukannya telah ‘main wayang’ kepada seluruh rakyat terhadap ‘usaha’ dan ‘kejayaan’ dalam mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi NKRA.

“Pada 2011, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dengan bongkaknya menyatakan inisiatif yang diambil kerajaan menunjukkan hasil yang besar dalam membanteras rasuah. Kerajaan pula menegaskan keberkesanan langkah yang dilakukan semakin dirasai dan diakui rakyat.

“PEMANDU sebelum ini dalam laporan yang sama turut mengatakan kadar rasuah di Malaysia meningkat sedikit daripada 48 peratus pada 2010 kepada 49 peratus pada 2011, sekaligus membuktikan ianya bertambah baik,” katanya.

Bagaimanapun, Pua menegaskan, menurut penyiasatan terkini Global Corruption Barometer (GCB), persepsi rakyat terhadap keberkesanan langkah kerajaan telah menurun dengan ketara daripada 49 peratus pada 2011 kepada 31 peratus pada 2012.

Katanya lagi, ia sangat menghairankan apabila baru-baru ini Pengarah NKRA Rasuah, Datuk Hisham Nordin memberitahu bahawa NKRA sudah melebihi sasaran KPI yang ditetapkan dalam rasuah.

“Kaji selidik itu menunjukkan selepas semua tarikan yang diperkatakan untuk NKRA melalui ‘tarian, nyanyian dan pembungkusan yang cantik’ untuk lebih daripada tiga tahun, rakyat tidak nampak sebarang perubahan dalam rasuah.

“Sangat sedikit usaha diambil untuk menghukum perasuah di kalangan orang kaya dan mereka yang mempunyai hubungan politik, apa yang lebih diusahakan hanya untuk menggagalkan pemberitahuan maklumat daripada pimpinan oposisi dan beberapa individu yang sedar,” tempelaknya. -Roketkini.com