KUALA LUMPUR, 11 JULAI: DAP menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low melaksanakan prinsip yang diketengahkan dalam buku terbitan Transparency International-Malaysia (TI-M) 2012 lalu.
Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong juga menyarankan Low melaksanakan semua 22 saranan TI-M untuk membuktikan bahawa beliau tidak munafik dan enam daripada 22 saranan itu harus dilaksanakan segera.
“Pertama, melakukan pembaharuan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk memecat Pengerusi dan Timbalan Pengerusi untuk memastikan kemerdekaan dan intergriti SPR. Kedua, mendesak parti politik mengumumkan akaun mereka termasuk sumber kewangan. Ketiga, menghadkan perbelanjaan parti politik dan bukan sahaja perbelanjaan calon seperti sekarang.”
“Keempat, melarang parti politik memiliki atau terbabit dalam perniagaan samada secara langsung atau tidak dan kelima, kerajaan perlu menyumbangkan dana kepada semua parti politik dan keenam melarang parti politik memiliki mana-mana media supaya dapat bersaing secara adil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Sim, laporan Global Barometer Corruption Survey (GCB) yang diumumkan TI-M tidak mengejutkan malah kegagalan itu sudah diketahui rakyat.
“Pelantikan Low sebagai menteri adalah satu drama kerana selepas 100 hari menjadi menteri beliau nyata tidak membawa suara progresif tapi mempertahankan kerajaan yang mengamalkan rasuah.
“Beliau menyokong perkara yang tidak ada asas kuat, contohnya seperti mempertahankan EAIC dan menolak tuntutan rakyat untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC),” ujarnya. –Roketkini.com