Berita

DAP kesal tindakan vandalisme rosakan papan iklan milik UDA

GEORGE TOWN, 11 JULAI: DAP mengecam keras tindakan vandalisme yang merosakkan papan iklan milik Urban Development Authority (UDA) yang tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ayahandanya, Tun Abdul Razak di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Kerosakan papan iklan milik UDA itu hanya disedari, semalam

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari kesal dan menganggap perbuatan itu jelas bertentangan dengan prinsip DAP sebagai sebuah parti yang berpegang pada politik matang.

Beliau berkata, tindakan merosakkan gambar Allahyarham Tun Razak, yang juga bekas Perdana Menteri Kedua dan Najib adalah perbuatan kebudak-budakan dan tidak mencerminkan budaya politik baru yang sedang diperjuangkan.

“Meskipun saya dan Najib berbeza fahaman politik, namun saya tetap yakin bahawa tumpuan harus diberi kepada perdebatan idea, dasar dan ideologi, bukannya serangan peribadi atau fizikal.

“Saya menghormati jasa Tun Razak sebagai tokoh yang banyak menyumbang dalam pembangunan negara bangsa, khususnya dalam usaha mereformasi demografi bandar dan menaikkan taraf hidup masyarakat migran di bandar melalui penubuhan UDA.

“Malah, Allahyarham ayahanda saya sendiri pernah menjadi rakan seperjuangan beliau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini..

Zairil berkata, beliau mengecam keras perbuatan vandalisme itu dan berharap agar semua pihak dapat bersama mencegah perbuatan khianat dan dangkal itu.

Beliau turut menyatakan bahawa perkara yang menjadi keutamaannya adalah usaha berterusan untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat yang berteraskan idea dan perdebatan fikiran.

Semalam, papan iklan milik UDA itu disedari dirosakkan pihak yang tidak bertanggungjawab.-Roketkini.com