Berita

DAP mahu lima kerajaan negeri selaraskan undang-undang penukaran agama

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Walaupun kerajaan sudah menarik balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan yang membenarkan penukaran agama bawah umur kepada Islam, tetapi peruntukan itu itu masih berkuatkuasa di lima negeri.

Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming pada sidang media bersama Ahli Parlimen DAP Kampar, Ko Chung Send an Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar di Lobi Parlimen, hari ini berkata, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Sarawak dan Melaka masih membenarkan penukaran agama bawah umur itu.

Sehubungan itu, Kor Ming memohon Jabatan Peguam Negara agar menasihati lima kerajaan negeri terbabit meminda enakmen masing-masing supaya seragam dengan Wilayah Persekutuan yang mana mentakrif ‘ibu-bapa’ seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Enakmen di lima negeri berkenaan diluluskan antara 2001 dan 2008. Undang-undang Islam negeri menyatakan bahawa bukan Islam berumur 18 tahun dan ke bawah boleh memeluk agama Islam dengan persetujuan seorang daripada ibu atau bapa.

Kor Ming menegaskan, enakmen sebaliknya pula dipraktikkan di Selangor, Pulau Pinang, Sabah, Terengganu, Perlis dan Johor, yang memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa bukannya seorang daripada mereka.

“Jadi saya ingin bertanya, mengapa boleh ada dua sistem dalam satu negara? Seperti kes ini?,” soalnya.

Katanya lagi, enakmen di lima negeri itu boleh dianggap salah kerana tidak mengikut Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa agama seseorang kanak-kanak itu perlu diputuskan oleh kedua-dua ibu bapa.

Beliau yang juga Timbalan Bendahari DAP Kebangsaan, berkata perkara itu perlu dilihat secara serius kerana ada di antara bapa apabila menceraikan isteri cenderung menukar agama diri dan anak mereka bagi mengelak membayar nafkah kepada isteri.

“Demi keseragaman undang-undang, saya dengan rendah diri mencadangkan lima kerajaan negeri berkenaan meminda peruntukan bagi mengekalkan keharmonian agama di negara ini,” ujarnya.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini menarik balik kelulusan Undang-Undang Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan 2013 yang mengandungi klausa membolehkan ibu bapa untuk secara unilateral menukar agama kanak-kanak bawah umur kepada Islam.-Roketkini.com