Berita

Kerajaan perlu bertekad atasi rasuah, bukan sekadar cadang langkah baru: Pua

PETALING JAYA, 11 JULAI: Kerajaan perlu memiliki keazaman politik yang kuat untuk memerangi rasuah, bukannya sekadar mencadangkan langkah baru untuk mengatasi dan membendung gelaja itu.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, kerajaan perlu lebih terbuka, berdaya saing dan telus dalam tender bagi kontrak penswastaan dan menteri mengisytiharkan aset mereka.

Pua berkata demikian terhadap kenyataan yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang menyatakan badan itu mahukan pembaharuan lebih radikal di bawah Akta Pencegahan Rasuah Kebangsaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk memerangi rasuah.

“Selain itu, SPRM perlu lebih banyak ‘taring’ dan menggalakkan budaya semak dan imbang dalam sistem Parlimen. Ini yang kami perlukan untuk mengatasi musuh nombor satu negara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam Bernama melaporkan Pengarah PEMANDU, D Ravindran mengakui bahawa Malaysia tidak cukup usaha untuk menangani rasuah.

Transparency International (TI) Global Barometer Corruption Survey (GCB) turut menunjukkan bahawa persepsi rakyat terhadap keberkesanan kerajaan dalam memerangi rasuah menurun daripada 49 peratus pada 2011 kepada 31 peratus pada 2012.

Bagaimanapun, Ravindran berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah untuk menangani perkara itu seperti melantik bekas Presiden TI sebagai menteri agar dapat memberi idea memerangi rasuah.

PEMANDU juga mencadangkan supaya Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan pada setiap persidangan Parlimen dan bukannya setahun sekali.

Pua bagaimanapun mengecam saranan Ravindran yang tidak akan membawa sebarang perubahan bagi memastikan rasuah berkurangan.

“Kami mengalukan langkah untuk membentangkan laporan Ketua Audit Negara pada setiap persidangan Parlimen, tetapi bagaimana kekerapan pembentangan laporan itu boleh membantu?

“Malah skandal sebelumnya yang kita dedahkan pun tidak mampu ditangani apa lagi menghukum pesalah,” ujarnya.

Beliau juga mengkritik pelantikan Datuk Paul Low ke dalam kabinet yang dilihat kebelakangan ini lebih menjadi pembela kepada kerajaan daripada membangkitkan isu rasuah.

“Paul Low mempertahankan kerajaan dengan menolak cadangan supaya menteri mengisytiharkan harta. Beliau juga menolak saranan PR untuk membolehkan ahli oposisi mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC).

“Jika langkah di atas disebut PEMANDU sebagai ‘radikal’, maka usaha pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengurangkan rasuah akan gagal,” katanya. –Roketkini.com