Berita

Sistem PBS: Kerajaan BN tidak peduli beban kerja guru

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) nampaknya tidak mempedulikan beban kerja yang terpaksa ditanggung guru apabila melaksanakan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar berkata, berdasarkan jawapan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh di Parlimen kerajaan mempertahankan pelaksanaan sistem itu walaupun ramai guru yang bersungut.

Beliau berkata, sistem ini antara lain menyebabkan guru dibebani dengan kerja perkeranian secara atas talian (on-line) walaupun tidak seperti membina instrumen sendiri (soalan), menanda, menyemak, menyusun, memeriksa kertas dan memasukkan data ke dalam sistem.

“Walaupun sistem itu menimbulkan banyak persoalan dan reaksi negatif daripada pelbagai pihak tetapi kerajaan tetap mahu meneruskan pelaksanaannya di 7,723 sekolah rendah dan 2,296 sekolah menengah di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Sivakumar, masalah membabitkan sistem PBS sudah lama menjadi dilema bagi guru kerana ia menjadi satu beban tambahan kepada tugas harian mereka.

“Saya meminta Menteri Pendidikan II dan kerajaan membuat kaji selidik terperinci untuk mendapatkan maklum balas daripada semua 412,000 guru yang terbabit secara langsung dengan sistem PBS.

“Tindakan itu penting untuk memastikan keberkesanan sistem PBS itu. Guru yang terbabit secara langsung harus memberi maklum balas kepada kerajaan samada sistem itu baik atau sebaliknya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak berkata, sistem PBS hanya mampu dilaksanakan dengan cekap bergantung kepada penerimaan guru yang menjadi tulang belakang yang penggerak sistem itu.

“Kami dapati sejak sistem ini diperkenalkan pada 2011, banyak aduan dan rungutan yang kami dengar daripada guru yang mengajar, Jika guru tidak dapat menerima sistem PBS sepenuh hati, maka pelaksanaannya akan gagal.

“Ada yang mengadu jika mereka (guru) dibebankan dengan sistem itu, bagaimana mereka hendak membuat persediaan untuk mengajar dan menjadi pendidik yang efektif?,” ujar Siva.

Justeru, beliau mahu perkara itu diberi perhatian serius dan mendapat pertimbangan wajar daripada kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan kerana ia membabitkan masa depan 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah menengah di seluruh negara.-Roketkini.com