Berita

Zahid Hamidi mengaku perangkaan jenayah diberi tidak tepat

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Pandangan orang ramai terhadap situasi jenayah di negara ini sejak empat tahun lalu adalah bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Najib, PDRM dan Hishammudin sejak empat tahun lalu mendakwa Program Transformasi Kerajaan (GTP) berkaitan jenayah mencapai kejayaan besar sejak dilancarkan pada 2009 hingga kadar jenayah turun mendadak.

Bagaimanapun, katanya, mulai bulan ini, Menteri Dalam Negeri baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan polis mengambil pendekatan baru apabila Ahad lalu mencadangkan undang-undang pencegahan khusus perlu dilaksanakan bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO) dalam usaha menangani situasi jenayah dalam negara.

Ahmad Zahid mendakwa kerajaan didesak untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan EO hingga membuatkan selepas itu, kadar jenayah meningkat dan penjenayah besar dan kecil keluar daripada persembunyian mereka dan kembali melakukan jenayah.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, sejurus sebelum Parlimen dibubarkan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13, rakyat Malaysia diberitahu bahawa kadar jenayah negara ini turun sebanyak 26.8% sejak fasa pertama GTP pada 2009 dan Malaysia diakui sebagai sebuah negara paling selamat dan aman di Asia Tenggara menurut Global Peace Index.

“Rakyat Malaysia juga diberitahu bahawa negara ini mencatat insiden jenayah sebanyak 550.1 bagi setiap 100,000 penduduk, meletakkan kadar jenayah Malaysia lebih rendah berbanding Singapura, Hong Kong, Britain dan Amerika Syarikat.

“Jadi apa masalah Malaysia sebenarnya sedangkan jawapan rasmi yang kita terima kadar jenayah turun, tetapi penduduk Malaysia tidak merasainya, maka tumpuan fasa kedua GTP ialah untuk meningkatkan keyakinan orang ramai mengenai keadaan keselamatan, justeru itu RM272.5 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2013 untuk memastikan rakyat merasa selamat,” katanya dalam kenyataan media di Parlimen, semalam.

Beliau berkata, dakwaan kadar jenayah semakin turun sejak empat tahun lalu terus digunakan sebagai pendirian rasmi selepas PRU-13 dan Perdana Menteri menegaskan dalam ucapan “Perang Menentang Jenayah” pada 8 Jun lalu bahawa kadar jenayah turun sejak GTP dilancarkan dan pada April lalu kadar jenayah turun sebanyak 3.1% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, sejak Julai lalu, Ahmad Zahid dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar  memutuskan untuk tidak lagi mempertahankan dakwaan mengenai kejayaan program GTP dalam mengurangkan kadar jenayah, sebaliknya mereka mengambil pendekatan berlawanan dengan mengakui bahawa kadar jenayah di negara ini tinggi sehingga undang-undang pencegahan seperti EO perlu diperkenalkan semula.

“Zahid juga mengaku Perdana Menteri, polis dan Menteri Dalam Negeri sebelum ini silap dan orang ramai betul apabila menganggap kadar jenayah dan kebimbangan terhadap jenayah semakin meningkat sejak empat tahun lalu

“Inilah soalan yang dikemukakan kepada Zahid ketika beliau menyampaikan ucapan penggulungan bagi perbahasan Titah Ucapan Di-Raja beliau di Parlimen kelmarin, tetapi beliau tidak memberi sebarang jawapan yang memuaskan.

“Zahid perlu bersedia dan berterus-terang mengakui bahawa rakyat Malaysia diberi perangkaan jenayah yang tidak tepat sejak empat tahun lalu dan perlu berjanji beliau akan beri selepas ini angka yang tepat mengenai situasi jenayah dalam negara,” katanya.-Roketkini.com