Berita

BN khianati janji hapus Akta Hasutan, rakyat Pulau Pinang juga bakal ditipu

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Janji manis kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Pulau Pinang untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik, monorel dan perkhidmatan 200 bas tambahan Rapid Penang dipertikai kerana sebelum ini juga banyak janji dikhianati.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataannya mempertikaikan jawapan yang diberi Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen.

Beliau berkata, satu daripada contoh terdekat ialah janji kerajaan BN untuk memansuhkan Akta Hasutan kini hanya tinggal janji apabila ia digantikan dengan akta baru iaitu Akta Harmoni Nasional.

“Hari ini adalah ulang tahun pertama pengumuman bersejarah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 11 Julai 2012 pada satu majlis jamuan makan malam Jabatan Peguam Negara mengenai Akta Hasutan 1948 yang akan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Harmoni Nasional.

“Saya masih ingat ucapan Perdana Menteri setahun lalu bahawa Akta Harmoni Nasional akan memperkukuhkan hubungan erat peringkat kebangsaan dan membela perpaduan negara serta memupuk harmoni agama,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, malangnya janji memansuhkan akta yang berusia 64 tahun itu tidak ditepati Najib sehingga ke hari ini.

“Paling menyedihkan apabila ada beberapa Menteri, termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menentang Akta Hasutan itu dimansuhkan, sebaliknya  mahu akta itu dikekalkan,” jelasnya.

Jawapan bertulis Menteri Kewangan di Parlimen pada 8 Julai lalu menyatakan bahawa, “Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan janji yang dibuat ditepati dan dilaksanakan untuk manfaat keseluruhannya. Manfaat yang diberi adalah tidak terhad kepada negeri tertentu sahaja, malahan segala aspek perancangan dan pembangunan mengambil kira kesejahteraan rakyat di semua negeri di mana tiada rakyat yang akan terpinggir daripada menikmati arus pembangunan negara.

Bagaimanapun, katanya, beliau mempertikaikan apabila kerajaan BN sanggup mengkhianati janji untuk memansuhkan Akta Hasutan, tidak mustahil mereka juga akan mengkhianati janji kepada rakyat Pulau Pinang.-Roketkini.com