Berita

Burung UBAH gergasi berlabuh di Pulau Pinang mulai 13 Julai

GEORGE TOWN, 12 JULAI: Rakyat Malaysia akan menyaksikan buat pertama kali replika burung UBAH gergasi akan berlabuh di dermaga IJM Promenade, Pulau Pinang mulai 13 Julai hingga 31 Ogos ini.

Burung UBAH terapung yang dibuat daripada PVC berkualiti tinggi seberat kira-kira 250 kilogram itu merupakan replika daripada burung Kenyalang atau burung Enggang yang digunakan sebagai maskot kempen DAP bermula pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2011 sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Ia membawa mesej UBAH dalam erti kata lain, mengajak rakyat melakukan anjakan politik ke arah Malaysia yang lebih baik, berintegriti dan bebas rasuah.

Replika burung UBAH terapung itu setebal 0.35mm akan diletakkan atas pelampung yang setebal 0.7mm, 25 kaki tinggi dan lebar 36 kaki.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata burung UBAH terapung itu diilhamkan oleh penyokong DAP dan penaja berdasarkan itik getah berwarna kuning yang terkenal di Hong Kong.

“Usaha itu adalah sumbangan kecil kepada Pulau Pinang dan diharapkan akan diterima dengan baik oleh pelancong dan penduduk tempatan.

“DAP telah memperkenalkan burung ini sebagai simbol harapan perubahan kerana sifatnya yang unik, ketabahan dan merupakan lambang perpaduan Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Model burung UBAH ini direka oleh Ooi Leng Hang yang kini menjadi ikon comel yang disayangi sebahagian rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik.

Menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, projek dengan anggaran kos sebanyak RM60,000 ini memakan masa selama dua bulan untuk disiapkan.

“Mereka yang terbabit dalam reka bentuk kreatif dan pembinaannya harus berbangga dengan usaha mereka. Hasrat mereka bukan hanya untuk kepuasan dan kegembiraan peribadi semata-mata malah ia juga unik dan boleh dikongsi bersama,” katanya.-Roketkini.com