Berita

DAP pertikai tindakan 1MDB ambil alih aset tiga syarikat IPP

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming mempertikai langkah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengambilalih tiga syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) setahun lalu dengan harga RM12 billion.

1MDB sudah memperoleh aset Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd berjumlah RM8.5 bilion pada Mac 2012, Genting Sanyen RM2.3 bilion (Ogos 2012) dan Jimah Energy untuk RM1.2 bilion minggu lalu.

“1MDB tidak berpengalaman dalam menjalankan loji jana kuasa sebelum ini. Negara mungkin menghadapi masalah ‘blackout’ yang teruk jika 1MDB gagal melaksanakan tugas sebagai pembekal kuasa,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata, pengambilalihan itu menimbulkan keraguan kerana urus niaganya dibuat secara tergesa-gesa walaupun kerajaan mengetahui sebahagian daripada kontrak IPP sudah hampir ditamatkan.

Kor Ming berkata, kerajaan membayar Jimah Energy dengan jumlah yang melampau sehinggakan syarikat terbabit mencatat keuntungan selepas cukai hanya RM11.8 juta.

“Berdasarkan harga perolehan RM1.2 juta dan keuntungan semasa syarikat itu, ia akan mengambil masa lebih daripada 100 tahun untuk 1MDB memulihkan pelaburan sepenuhnya,” katanya.

Beliau menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) untuk menyiasat perkara itu dan bertanya kepada Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri untuk memberi pendedahan sepenuhnya mengenai perbelanjaan utama.

“Kerajaan wajib telus, terutama apabila memohon kelulusan Parlimen untuk satu lagi rang undang-undang tambahan bernilai RM12.17 bilion,” katanya. -Roketkini.com