Isu Semasa

DAP tidak tentang Islam, mahu subjek Tamadun Islam jadi elektif di IPTS

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: DAP menganggap kefahaman terhadap pelbagai tamadun adalah baik dan seharusnya digalakkan dalam sistem pendidikan negara ini.

Ketua Whip DAP Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan, Loke Siew Fook berkata, malah DAP pernah beberapa kali menganjurkan dialog ketamadunan berlainan (inter-civilisational dialogues) untuk memupuk persefahaman dan hormat-menghormati antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, DAP juga menghargai usaha memperkenalkan subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di Isntitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), tetapi subjek itu seharusnya diperkenalkan sebagai subjek elektif dan bukannya subjek wajib.

Katanya, ini kerana pendekatan untuk mewajibkan pembelajaran subjek berkenaan memberi gambaran negatif di kalangan pelajar bahawa mereka terpaksa menduduki subjek itu tanpa kerelaan.

Menurutnya, tambahan pula, pendekatan wajib seperti itu tidak akan menghasilkan unsur pemahaman dan nilai positif seperti yang diharapkan.

“Nilai murni daripada sejarah Tamadun Islam dan Tamadun Asia perlu dipupuk bukan sahaja di peringkat tertinggi malah perlu diserap dalam sukatan mata pelajaran di peringkat sekolah menengah lagi seperti subjek Sejarah dan Pengajian Am,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Loke berpendapatan pendekatan mewajibkan subjek itu hanya di IPTS adalah kurang wajar.

Beliau berkata, DAP juga sedar bahawa ada anasir perkauman yang cuba memutar-belitkan kenyataan Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen mengenai perkara itu dan menuduh DAP sebagai menentang agama Islam.

“Kami menegaskan bahawa DAP tidak pernah menentang Islam dan mana-mana agama lain malah mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Pemahaman terhadap kebudayaan dan ketamadunan yang berlainan perlu dipupuk sejak di bangku sekolah dan tidak boleh dilaksana melalui paksaan,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, DAP menyeru Kabinet untuk mengkaji semula keputusan Kementerian Pendidikan untuk mewajibkan subjek TITAS di IPTS pada mesyuarat Kabinet minggu depan.

Bagaimanapun, katanya, DAP menyokong subjek terbabit diperkenalkan sebagai subjek elektif di IPTS. – Roketkini.com