KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan pelancaran ‘Ubah Air’ pada 13 Julai lalu selaras dengan impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang bersatu di mana rakyat menganggap diri mereka sebagai satu bangsa walaupun berbeza latar belakang kaum, agama, budaya dan wilayah.
Menurutnya, seperti yang ditandatangani dalam pelancaran itu, rakyat perlu mempunyai keyakinan dan keberanian untuk terus bermimpi agar Malaysia ke arah lebih baik untuk kesenangan semua generasi.
“Untuk mewujud dan memastikan impian rakyat Malaysia tercapai, kita menekankan aspek bahawa negara mesti memiliki model kebebasan demokrasi dan hak asasi manusia, tadbir urus yang baik dan integriti awam dengan tahap rasuah yang rendah.
“Pendidikan juga perlu diperuntukkan untuk semua peringkat daripada sekolah rendah, menengah hingga ke universiti.
“Kita juga mesti menjadikan negara ini lebih hijau, bersih dan selamat, di mana rakyat tidak dihantui dengan kadar jenayah yang tinggi dan hidup dalam ketakutan jenayah supaya rakyat lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa dengan tumpuan bersaing dengan negara lain berbanding sesama sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berbesar hati dengan sambutan orang ramai pada majlis pelancaran Ubah Air itu walaupun hujan turun membasahi acara itu.
“Walaupun hujan turun renyai-renyai ketika pelancaran yang disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, orang ramai tetap hadir dan bersemangat berkumpul. Ini jelas membuktikan semangat perubahan tidak pernah lentur walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan halangan.
“Pelancaran ini juga merupakan simbolik kepada dedikasi dan semangat rakyat yang komited untuk melihat Malaysia yang lebih baik walaupun perjalanan ke arah perubahan itu masih panjang,” katanya.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada ‘bapa ubah’, Ooi Leng Hang dan pasukannya yang mencipta maskot Ubah.
“Kredit perlu diberikan kepada Ooi Leng Hang dan pasukan artis kreatifnya yang mencipta maskot Ubah untuk ‘perubahan’ yang sekaligus berjaya menangkap imaginasi semua generasi rakyat tanpa mengira masa, tempat, umur atau gender,” ujarnya. -Roketkini.com