Berita

DAP terus bela keluarga mangsa mati dalam tahanan

SEMENYIH, 14 JULAI: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP tidak akan membiarkan mangsa yang mati dalam tahanan pihak berkuasa terus teraniaya tanpa pembelaan yang wajar.

“Dalam kes kematian Teoh Beng Hock, kita akan terus mencari keadilan dan kebenaran,” ujarnya pada sidang media selepas menghadiri upacara memperingati kematian Teoh Beng Hock tahun keempat di Nirwana Memorial Garden, di sini, pagi tadi.

Pada masa yang sama, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga mahu agar seluruh rakyat Malaysia khususnya keluaga Beng Hock tabah menghadapi dugaan.

“Kami berharap keadilan dan kebenaran akan dapat ditegakkan. Ini bukan sahaja isu Beng Hock tetapi isu seluruh rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Kim Wah pula, situasi yang berlaku dalam negara ini seolah-olah masih tidak berubah walaupun Barisan Nasional (BN) diberi mandat baru.

“BN seperti tidak sedar akan kesilapan mereka. Dalam isu A Kugan misalnya,

Walaupun kes itu dimenangi keluarga Kugan, mengapa kerajaan BN masih mahu membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah?,” soalnya.

Adik perempuan Beng Hock, Teoh Lee Lan dalam kenyataannya memberitahu media bahawa satu sesi pendengaran akan diadakan selepas 9 September ini.

“Kami juga akan memfailkan saman kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan Malaysia,” katanya.-Roketkini.com