Berita

DAP mahu Najib buktikan kesungguhan laksana pembaharuan

PETALING JAYA, 15 JULAI: DAP mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan kesungguhan politik seperti yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu untuk memastikan negara kekal di landasan pembaharuan dan perubahan.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, masalah negara tidak akan selesai begitu saja jika Najib terus mendiamkan diri yang akhirnya akan membuatkan rakyat semakin hilang keyakinan kepimpinan beliau.

Katanya, selepas hanya 10 minggu PRU-13 berlalu, Najib dilihat gagal memikul tanggungjawab apabila lebih banyak kontroversi terpalit berbanding memberi inisiatif dan menentukan hala tuju negara.

“Ketika kempen PRU-13 lalu, Najib menonjolkan dirinya sebagai reformis kepada seluruh rakyat dan akan menjadikan Malaysia sebagai ‘negara demokrasi terbaik di dunia’. Bagaimanapun, Najib gagal mengawal ‘rumahnya’ sendiri apabila menteri Kabinet berpecah dua dalam isu pemansuhan Akta Hasutan.

“Kami juga mendapati Menteri Kabinet dan pimpinan BN lain secara terbuka bertengkar mengenai pembentangan Rang Undang-Undang Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan bagi menukar agama kanak-kanak di bawah umur. Sepanjang kontroversi berlangsung Najib hanya mendiamkan diri.

“Rakyat tertanya ‘di mana Perdana Menteri kita?’ Adakah beliau telah bersembunyi untuk mengelak daripada berhadapan dengan kontroversi? Negara sekarang seperti kapal yang sedang menangis tanpa pemimpin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan turut mengecam kegagalan Najib mengatasi masalah jenayah dan rasuah negara.

“10 kematian dalam tahanan dalam tempoh hanya enam bulan manakala jenayah kekerasan menjadi satu norma di bandar, Najib seolah-olah tidak menghiraukan saranan pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan menyalahkan pemansuhan Ordinan Darurat (EO) sebagai punca peningkatan jenayah.

“Najib membiarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri barunya, Datuk Paul Low mempertahankan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berbanding IPCMC. Najib juga membenarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengamuk dengan menyalahkan pemansuhan EO sebagai punca peningkatan ketara kadar jenayah, walhal Najib sendiri yang memansuhkan EO.

“Beliau juga membenarkan Unit Pengurusan Prestasi mengakui kerajaan tidak melakukan usaha yang cukup untuk memerangi rasuah. Tidak ada sebarang ‘pembaharuan radikal’ yang dilakukan. Agak menghairankan, pada saat beliau menyeru rakyat meyakini pembaharuan yang dijanjikan tapi sebaliknya berlaku apabila beliau diam membisu dengan menyerahkan masalah negara kepada kumpulan yang tidak bertolak ansur dalam parti,” ujarnya.

Beliau turut menempelak kegagalan Najib membasmi elemen pelampau yang semakin hari semakin menjalar dalam UMNO/BN.

“Selepas PRU-13, Najib menyebut Perdamaian Kebangsaan (national reconciliation), tapi beliau sendiri gagal membendung elemen pelampau dalam partinya terutama melalui jurucakap mereka iaitu Utusan Malaysia yang terus memuntahkan penghinaan perkauman terhadap golongan minoriti dan menghasut kebencian di kalangan majoriti Melayu.

“Contohnya boleh dilihat apabila beliau membiarkan saja ahli Parlimennya melabel Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman sebagai pengkhianat Melayu apabila Azran menyatakan pendiriannya berhubung sikap anti-Cina Utusan,” katanya. -Roketkini.com