Berita

DAP ulangi desakan segera laksana enam prinsip TI-M

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mempertikai tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan enam prinsip Transparency International-Malaysia (TI-M) walaupun berpeluang melaksananya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mendesak Paul Low supaya melaksanakan segera prinsip itu yang sudah diputuskan pada 2012 lalu.

“Saya berharap beliau bertindak dengan serta merta untuk menyegerakan pelaksanaan prinsip TI-M ini.

“Jika tidak, hanya tiga perkara yang boleh kita tafsirkan terhadap beliau iaitu sememangnya tidak boleh diharapkan untuk menghapuskan rasuah dalam BN, seorang yang hipokrit atau kedua-dua sekali,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Enam prinsip itu adalah pembaharuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui pemecatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusinya, kedua mendesak parti politik mengumumkan akaun mereka termasuk sumber kewangan dan ketiga menghadkan perbelanjaan parti politik.

Tiga lagi ialah melarang ahli politik terbabit dalam perniagaan sama ada secara langsung atau tidak, kelima, kerajaan perlu menyumbang dana kepada semua parti politik dan terakhir melarang parti politik memiliki mana-mana media.

Minggu lalu, Paul Low dalam sesi perbahasan sidang Parlimen mendakwa kerajaan sudah melaksanakan 8 daripada 22 prinsip TI-M.

Menempelak kenyataan itu, Sim menegaskan pelaksanaan itu tidak memadai kerana bersifat ‘setengah masak’ yang mana menyebabkan pimpinan oposisi dihadkan kapasiti perbelanjaan dan peraturan pilihan raya.

Sedangkan, katanya, calon BN berbelanja 10 kali ganda daripada had yang dibenarkan ketika Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) lalu.-Roketkini.com