Berita

Penipuan pilihan raya: Pakatan Rakyat heret SPR ke Mahkamah

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Pari-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) hari ini memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penipuan dan salah laku SPR yang menimbulkan bantahan banyak pihak terhadap ketelusan suruhanjaya itu mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Mei lalu.

Saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut antara lain memohon deklarasi supaya keputusan kesemua 222 kerusi Parlimen diisytiharkan batal dan tidak sah, serta supaya kesemua anggota SPR dipecat serta merta, selain memohon perintah supaya pilihan raya yang baru diadakan.

Pada sidang media di Parlimen, hari ini, peguam yang juga Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, SPR akan dibawa ke mahkamah untuk memutuskan sama ada berlakunya penipuan.

“Kami lihat sekarang SPR beri pelbagai alasan untuk mengelak daripada dipersalahkan. Dakwat yang tidak kekal itu seolah disengajakan kerana tahu itu antara cara yang boleh mengelak daripada mengundi dua kali,” jelas beliau.

Menurut Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook, SPR semakin diragui sehingga desakan kuat untuk mendedahkan pembekal dakwat kekal itu dirahsiakan hingga kini.

“Mereka (SPR) degil untuk beritahu seperti mahu melindungi pembekal. Kenapa?,” soal beliau.

Justeru itu tindakan menyaman SPR kerana dakwaan penipuan adalah wajar kerana ia membabitkan kepentingan awam dan ketelusan sistem pilihan raya negara ini.

Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula berkata, SPR juga terbukti  berat sebelah apabila Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof  banyak membuat kenyataan yang berpihak kepada kerajaan BN.

“Mereka sepatutnya profesional dan selain berat sebelah, janji dakwat kekal itu ternyata satu pembohongan,” ujar beliau.

Ahli Parlimen PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan pula menyatakan bahawa sehingga kini, laporan yang dibuat mengenai ‘dakwat tidak kekal’ masih tidak disiasat.

“Laporan banyak dibuat tapi kenapa tidak disiasat? Sebab itu tindakan kita, PR menyaman tepat pada masanya,” ujar beliau. – Roketkini.com