Berita

Pulau Pinang sokong cadangan tubuh jawatankuasa khas pelancongan di setiap negeri

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyambut baik cadangan Kementerian Pelancongan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Pelancongan di seluruh negeri di Malaysia.

Katanya, cadangan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz itu amat wajar dan merupakan langkah bijak kementerian berkenaan dalam mengukuhkan lagi industri pelancongan negara ini.

“Kita sokong langkah itu. Ia bukan sahaja akan menguntungkan kerajaan negeri tetapi juga kerajaan Persekutuan kerana hasil cukai industri itu juga diperoleh kerajaan Persekutuan,” ujar beliau pada satu sidang media bersama sebentar tadi.

Menurut Ahli Parlimen DAP Bagan itu, Kementerian Pelancongan juga perlu memberi peruntukan lebih kepada negeri dalam membangunkan industri pelancongan.

Justeru itu, beliau mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memperuntukkan empat peratus bajet pelancongan bagi setiap negeri termasuk negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Sebelum itu, Nazri berkata, beliau tidak akan menganaktirikan negeri yang ditadbir oposisi dalam pemberian peruntukan.

“Kita kena adakan jawatankuasa itu untuk memudahkan peruntukan disalurkan. Saya tidak boleh ketepikan negeri pembangkang seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan sebab saya nak capai sasaran saya,” katanya.

Sebelum ini, sebuah jawatankuasa khas pelancongan pernah dibentuk ketika Kementerian Pelancongan diterajui Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir tetapi dimansuhkan ketika Datuk Azalina Othman mengepalai kementerian itu.

Selepas sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang ini selesai, Nazri menerima memorandum bantahan membabitkan 33,000 penduduk dan peniaga yang menyatakan bantahan berhubung isu penutupan Jonker Walk oleh Kerajaan Negeri Melaka.

Memorandum diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kota Laksamana, Lai Keun Ban dan ADUN DAP Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong.-Roketkini.com