Wawancara

Pusat Komuniti dan agenda perubahan – Wong Shu Qi

PADA 30 Jun lalu, DAP telah merasmikan Pusat Komuniti Pakatan Rakyat Senai/Kulai di Pejabat ADUN Senai, Taman Indahpura, Kulai, Johor. Majlis dihadiri ADUN DAP Senai, Wong Shu Qi dan Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching, manakala upacara perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Wartawan Roketkini.com, Edry Faizal Eddy Yusof dan jurugambar, Wira Andika baru-baru ini sempat menemubual dan merakam Wong Shu Qi ketika berbicara serba sedikit mengenai Pusat Komuniti yang baru dirasmikan itu. Antara pertanyaan yang diajukan adalah seperti peranannya kepada masyarakat, perbezaan dengan pusat khidmat masyarakat, aktiviti yang akan diadakan dan sumbangan yang boleh diperoleh masyarakat melalui pembabitan diri dalam pusat komuniti.

Daripada mana datangnya idea untuk menubuhkan pusat komuniti ini?

Ideanya daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan inisiatif Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kemudian diguna sepenuhnya oleh pasukan DAP Johor. Kebanyakan wakil muda PRU menyarankan kita perlu mempraktikkan idea ini untuk membuka ruang baru agar ia dapat memberi manfaat kepada pengundi dan penduduk sekitar.

Apa bezanya pusat komuniti ini berbanding pusat khidmat masyarakat?

Sebenarnya sebelum ini kita pernah mempunyai pusat komuniti dan khidmat masyarakat, tapi sekarang kita mengambil pendekatan untuk mengeluarkan perkataan ‘khidmat’ sebab kita tidak mahu pusat ini menjadi tempat memberi khidmat semata sebab kita bukan sekadar menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat, malah mahu lebih banyak aktiviti lain.

Kita di sini menyediakan buku, majalah, surat khabar, pengetahuan dan tempat perbincangan terbuka kepada semua masyarakat agar dapat berdialog bukan sekadar perkara yang membabitkan ‘perkhidmatan’.

Bila bercakap mengenai perkhidmatan, kita tidak dapat lari daripada stereotype dalam perkhidmatan adalah hanya tertumpu kepada menyelesaikan masalah longkang, lampu jalan. Jadi apa yang kita mahu lakukan adalah satu langkah lebih ke depan dengan perspektif yang berbeza, bukan hanya memberi khidmat apabila diminta untuk memberi khidmat, kita perlu melangkaui stereotype itu. Kita harus eratkan komuniti dan kemudian bina komuniti itu.

Selain membaca, apa lagi yang aktiviti yang ada di pusat komuniti ini?

Pusat Komuniti ini terletak di kawasan perumahan dengan gelanggang bola keranjang dan padang di depannya, jadi kami sedang merancang untuk mengadakan satu festivl filem khas kepada penduduk. Festival ini adalah untuk mengenang jasa yang disumbangkan oleh Yasmin Ahmad di antara Hari Kemerdekaan, 31 Ogos dan Hari Malaysia, 16 September nanti. Kalau kita lihat hasil kerja Yasmin dipertontonkan kepada masyarakat mengenai semangat Malaysia yang sebenar.

Selain datang ke sini untuk membaca, kami juga menyediakan bahan bacaan untuk diambil secara percuma untuk sesiapa saja.

Kami juga akan menemui beberapa persatuan penduduk supaya mereka gunakan inisiatif ini untuk melakukan aktiviti lain, jadi aktiviti itu tidak hanya datang daripada kami. Kami boleh berikan idea, tapi penduduk yang perlu mengambil inisiatifnya.

Pada abad ke-21 ini, penduduk tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan semata sehingga menjadikan kerajaan itu tuan mereka hanya demi mendapatkan kemudahan, hirarki ini perlu dipecahkan dengan memberi kuasa kembali kepada rakyat, di mana rakyat di bawah mesti melakukan sesuatu dan menyatakan pandangan mengenai apa yang boleh mereka sumbangkan.

Sekarang ini masih dalam proses transisi ke arah perubahan, jadi bagaimana anda berurusan dengan perkara ini?

Masih ramai penduduk yang datang ke pejabat saya untuk mendapatkan nasihat berhubung masalah undang-undang, mereka masih mengharapkan kami untuk menyelesaikan masalah mereka, jadi kami tidak ada pilihan kecuali mencari jalan menyelesaikan masalah mereka.

Kita juga sekarang ini dalam proses mendidik masyarakat tentang apa sebenarnya kerja tugas seseorang wakil rakyat.

Jika satu hari nanti, anda dipindah ke tempat lain, apakah tempat ini akan tetap berada di sini atau turut dipindahkan sekali?

Ianya tetap akan berada di sini sebab sebelum saya datang pun, tempat ini memang sebuah perpustakaan. Sebelum ini ia diuruskan oleh seorang pemilik tadika berhampiran, saya hanya menyewa dua bilik daripada beliau dan kemudian kami bekerjasama untuk menukar perpustakaan kanak-kanak ini kepada sebuah perpustakaan untuk semua.

Berapa banyak sebenarnya pusat komuniti seperti ini di Johor?

Daripada apa yang saya tahu, selain di Senai, kita juga sudah mempunyai dua pusat komuniti lain di Johor Jaya dan Kluang.

Adakah ianya hanya ada di Johor?

Selain di Johor, ada satu di Ipoh yang diuruskan oleh Nga Kor Ming, pusat komuniti di Ipoh itu juga mempunyai cafetaria. Saya juga akan menyediakan kemudahan cafe, jadi penduduk yang datang boleh membaca sambil minum kopi dengan kopi tempatan yang akan kami sediakan.

Macam mana sambutan setakat ini?

Tempat ini baru seminggu dibuka, kita mengharapkan lebih ramai penduduk akan datang.

Adakah tempat ini masih boleh menjadi tempat mainan kanak-kanak?

Sudah tentu, sebab itu kita juga sediakan satu bilik bacaan untuk kanak-kanak di tingkat atas, ada juga bilik multimedia. Kita juga akan mengadakan sesi bercerita untuk setiap minggu dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Jadi kanak-kanak boleh datang untuk membaca dan bermain di sini.

Ada rancangan lain untuk pusat komuniti?

Pusat komuniti ini hanya platform yang menyediakan peluang untuk orang ramai supaya dapat mencapai impian mereka. Saya harap sesiapa saja yang mempunyai idea dan juga cadangan dapat turut bersama kami, idea bernas daripada mereka amat kami perlukan. -Roketkini.com