Berita

Usah nafi hak pelajar layak masuki universiti awam: Guan Eng

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Sudah sampai masanya bagi semua parti politik dan Kementerian Pendidikan memberi tumpuan kepada kaum tetapi kenapa pelajar yang layak tidak mendapat tempat di universiti tempatan berasaskan merit selepas 56 tahun negara merdeka.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata, menafikan hak pelajar berkelayakan, termasuk yang mendapat CGPA maksimum 4.0 daripada memasuki universiti awam, bukan saja pembaziran bakat bernilai, sebaliknya menghalau mereka yang terbaik dan paling cerdik itu ke luar negara.

Katanya, tindakan itu hanya akan memburukkan lagi aliran keluar bakat dalam negara, menyusahkan Talent Corporation untuk menjana keuntungan bakat serta memudahkan negara lain, termasuk Singapura merampas bakat terbaik yang ada.

Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mahu Kementerian Pendidikan menghentikan polisi pendek akal yang bukan saja mengakibatkan Malaysia ketinggalan malah memberi tekanan mental kepada anak muda yang dinafikan masa depan mereka setiap tahun.

“Bagaimana kita mahu mempersiapkan generasi muda untuk masa depan dan masa depan untuk anak muda jika membiarkan ketidakadilan sedemikian.

“DAP tidak bersetuju dengan obsesi tahunan peringkat nasional untuk melakukan profil perkauman oleh MCA dan MIC yang masing-masing berhujah bahawa isu penafian tempat di universiti hanya berdasarkan perspektif kaum sedangkan ia sepatutnya dilihat dari aspek peluang saksama, kecemerlangan dan prestasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Guan Eng, DAP percaya kedua-dua parti politik itu sengaja meneruskan perpecahan kaum setiap tahun bagi mencipta sindrom kebergantungan demi menjadikan MCA dan MIC masih relevan, berbanding menginstitusikan syarat kemasukan yang telus.

“MCA menunjukkan bahawa meskipun kemasukan pelajar ke universiti awam meningkat tahun ini berbanding tahun lalu, pelajar Cina yang berjaya hanya 19% yakni lebih rendah berbanding 23% pada tahun lalu. Daripada 41,573 jumlah pengambilan tahun ini, hanya 7,913 adalah pelajar berketurunan Cina berbanding 8,986 daripada 38,549 tahun lalu dan 9,457 daripada 41,267 pada 2011.

“Malah MIC mempersoalkan janji Perdana Menteri untuk menepati mesej ‘nambikei’nya kepada komuniti India apabila pelajar India hanya diberi 4% tempat di universiti awam.

“MIC menekankan bahawa sepatutnya terdapat 3,000 dan bukan 1,800 tempat untuk kaum India di unversiti pada tahun ini, berikutan janji Perdana Menteri untuk menambah tempat di pusat matrikulasi daripada 300 kepada 1,500,” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, DAP percaya mesti ada peluang saksama bagi mereka dengan latar belakang kurang bernasib baik untuk memasuki universiti awam dan tidak ada sebab mereka yang mendapat CGPA 4.0 dinafikan tempat di universiti untuk bidang yang mereka mahukan demi memberi peluang saksama.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan mesti bertanggungjawab penuh terhadap kegagalan untuk berlaku adil dan memastikan yang layak mendapat tempat yang sepatutnya kerana masa depan generasi muda terlalu penting untuk dipolitikkan atau dimainkan sebagai satu permainan tahunan.

“Dengan hilangnya keyakinan umum terhadap profesionalisme Kementerian Pendidikan, sebuah badan bebas seperti firma pengauditan antarabangsa wajar dilantik bagi memastikan tidak ada pelajar berkelayakan yang ketinggalan,” ujarnya.-Roketkini.com