Berita

Bank Negara digesa lanjut tempoh pinjaman perumahan hingga 45 tahun, hadkan pinjaman kenderaan

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: DAP menggesa Bank Negara mengembalikan tempoh pinjaman hartanah untuk pembeli kali pertama sehingga maksimum 45 tahun yang mesti ditawarkan bank, serta menumpukan terhadap usaha menghadkan pinjaman kenderaan bagi mengurangkan hutang isi rumah yang kini berada pada kadar 83% daripada KDNK, yang kedua tertinggi di Asia.

Bagaimanapun, Bank Negara mungkin berpendapat bahawa mengenakan syarat lebih ketat untuk pinjaman itu penting bagi menurunkan hutang isi rumah, fokus sepatutnya diberikan terhadap pinjaman kereta, bukannya pinjaman perumahan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menyebut sebagai perbandingan bahawa, kadar pinjaman isi rumah Thailand adalah pada 30%, Indonedia (15.7%), Hong Kong (58%), Taiwan (82%), Jepun (75%) dan Singapura 67%.

Katanya, hanya Amerika Syarikat pada kadar 91.7%, United Kingom (114%), Australia (113%), Nw Zealand (91%) dan Korea Selatan (91%) yang mempunyai kadar hutang isi rumah yang tinggi berbanding KDNK.

“Tiga penyumbang terbesar terhadap hutang isu rumah setakat April 2013 adalah, pinjaman perumahan sebanyak RM316.2 bilion, pinjaman kereta (RM145 bilion), pinjaman peribadi (RM55.8 bilion) dan hutang kad kredit (RM32.3 bilion).

“Dengan kata lain, pinjaman kenderaan membentuk sekitar 20% daripada jumlah hutang isi rumah seluruh Malaysia. Fokus seharusnya diletakkan untuk mengurangkan pinjaman tidak perlu berbanding keperluan asas perumahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, membeli rumah adalah lebih penting daripada membeli kereta, sekatan terhadap pinjaman hartanah, terutama sekali pembeli kali pertama akan menafikan hak mereka daripada memiliki aspirasi asas untuk mempunyai tempat untuk berteduh yang diduduki pemilik.

Menurutnya, dengan memberi fokus kepada sekatan terhadap pinjaman kenderaan, adalah diharapkan supaya hutang isi rumah, milikan kenderaan dan kesesakan lalulintas dapat dikurangkan.

“Mengikut peraturan Bank Negara yang baru, untuk mengurangkan hutang isi rumah dalam negara, pembeli hartanah kini boleh mengambil pinjaman sehingga 35 tahun berbanding 45 tahun sebelum ini, sementara pinjaman peribadi boleh dibayar semula dalam tempoh 10 tahun berbanding 25 tahun.

“Walaupun amat perlu bagi Malaysia menurunkan kadar hutang isi rumah kepada KDNK yang kini sebanyak 83%, menghadkan pinjaman kenderaan adalah lebih mampan berbanding menghadkan pinjaman perumahan. Janganlah kita menafikan generasi muda daripada memiliki rumah mereka sendiri ketika harga rumah yang kian melambung serta sekatan baru dalam pinjaman perumahan bergabung untuk menjadikan impian mereka memiliki rumah mustahil menjadi kenyataan,” katanya.-Roketkini.com