Berita

Bishop tidak campur urusan negara, beri pandangan sebagai Duta Vatican City

KOTA KINABALU, 16 JULAI: Semua pihak diminta tidak memberi reaksi melulu dan membuta tuli berhubung salah faham yang timbul daripada kenyataan Duta Vatican City, Bishop Joseph Marino yang memberi pandangan menyokong penggunaan nama Allah di kalangan penganut Kristian negara ini.

“Adalah perkara biasa jika diplomat Vatican memberi pandangan beliau berhubung semua isu berkaitan gereja tempatan. Ia tidak sepatutnya dianggap sebagai campur tangan dalam hal ehwal dalam negeri di Malaysia seperti yang didakwa Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan menteri lain,” kata Setiausaha DAP Sabah, Dr Edwin Bosi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kepayan berkata, isu yang tidak sepatutnya timbul itu semakin panas apabila tiga Menteri Kabinet, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Luar Negara, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengeluarkan kenyataan mengkritik Duta Vatican City itu.

Dalam laporan media, Bishop Marino dilaporkan memuji pendapat yang dibuat Persekutuan Kristian Malaysia untuk menggunakan perkataan “Allah” dalam teks merujuk kepada perkataan Tuhan.

Beliau juga dilaporkan berkata, walaupun kes itu sedang berjalan di mahkamah dan merupakan isu dalaman Malaysia, beliau menyokong hujah Persekutuan Kristian Malaysia dengan berkata pendapat persatuan itu “agak logik dan boleh diterima”

“Kenyataan Marino itu hanya mencerminkan pendirian dan pendapat seorang diplomat Vatican yang mempunyai pandangan global dan pengetahuan mengenai isu yang berkaitan dengan gereja Kristian.

“Apa yang berlaku ialah pandangan sebagaimana ahli politik atau kerajaan yang sentiasa menyuarakan pendapat mengenai isu di luar sempadan kita, seperti isu berkaitan Israel dan Palestin, Myanmar, Mesir, dan negara Asean lain,” jelas Dr Edwin.

Justeru itu, beliau mahu semua pihak termasuk beberapa Menteri Kabinet agar tidak memberi reaksi keterlaluan kerana ia pada masa yang sama mampu merosakkan  imej Malaysia sebagai sebuah negara yang moderat di mata dunia.

“Saya berharap, menteri UMNO dan ahli politik lain bertindak matang, waras dan berhenti darip;ada terikut-ikut dengan tindak-tanduk NGO radikal seperti Perkasa dan JATI.

“Kenyataan NGO radikal itu bukan hanya akan membantutkan proses perdamaian nasional tetapi juga mengguris hati dan perasaan penganut Kristian yang sememangnya sudah lama menggunakan perkataan Allah di Malaysia Timur,” katanya lagi.-Roketkini.com