Berita

DAP kecam tuduhan tidak berasas Bung Mokhtar

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Ahli Parlimen DAP mengutuk tindakan Ahli Parlimen BN Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang mendakwa DAP bertanggungjawab menaja blogger Alvin Tan dan Vivian Lee berhubung kejadian video menghina Islam dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.

Tuduhan itu mendapat kecaman keras Ahli Parlimen DAP antaranya Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke yang menggesa menarik balik tuduhan itu serta merta.

“Ini adalah fitnah jahat yang tidak berasas, apa kena mengena mereka berdua dengan DAP?,” kata Kor Ming.

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok menegaskan di bawah Perintah Tetap 36 yang melarang tuduhan berniat jahat terhadap Ahli Parlimen lain.

Bung Mokhtar turut menuduh Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen terbabit di belakang video itu.

“Saya takut Bandar Kuching juga mungkin terlibat,” dakwanya.

Chieng Jen bagaimanapun  meminta Bung Mokhtar menarik balik kenyataan yang jelas satu ucapan yang berniat jahat terhadap individu.

Terdahulu, Alvin dan Vivian dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memberi kenyataan di ibu pejabat agensi itu di Bangunan Sultan Abdul Samad.

Kenyataan itu untuk membantu siasatan berhubung memuat naik gambar hidangan yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam menggesa hukuman segera dikenakan terhadap pasangan itu kerana bertindak di luar batasan.

Tahun lalu, Alvin dan Vivian menggemparkan negara apabila menyiarkan gambar dan video aksi seksual mereka dalam blog mereka.

Teresa Kok kemudian menyelar tindakan Bung Mokhtar yang meminta kerajaan mengarahkan Duta Vatican ke Malaysia, Archbishop Josef Marino keluar dari negara ini kerana campur tangan dalam hal ehwal negara dengan mengulas isu agama.

“Kenyataan melulu seperti ini tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang Ahli Parlimen, Bung Mokhtar dan Ahli Parlimen BN lain perlu semak dan baca dulu kenyataan asal Josef Marino,” katanya.

Kor Ming pula berkata, kenyataan Josef Marino sengaja diputar belit untuk menimbulkan ketegangan agama.

“Josef Marino dalam kenyataannya menyifatkan Islam sebagai agama yang cantik tapi apa yang diucapkan beliau sengaja diputar belit. Ini merupakan tindakan yang sama sekali tidak bertanggungjawab,” ujarnya. -Roketkini.com